Oleh Esme Johari Wahab

Kuala Lumpur: Latihan skuad sepak takraw lelaki kebangsaan tidak lagi akan diadakan di Kuala Lumpur.

Tindakan itu diambil Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi memastikan setiap pemain negara fokus membuat persiapan menghadapi Sukan SEA Singapura 2015 tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi Pembangunan Atlet PSM Tengku Adnan Tengku Burhanuddin berkata, seramai 26 pemain takraw kini menjalani latihan intensif di Pulau Pinang dan Perlis.

“PSM mengambil keputusan itu bagi memastikan setiap pemain fokus terhadap latihan dan membina kekuatan mental.

“Berlatih di sana kurang gangguan berbanding di Kuala Lumpur, bermakna pemain dapat mengikuti latihan kendalian ketua jurulatih baru Abdul Talib Ahmad dengan lebih baik dan berkesan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Beliau berkata, latihan skuad sepak takraw negara diadakan di Kompleks Sukan Batu Uban dan Kompleks Belia dan Sukan Negeri di Kangar sejak 16 Februari lalu.

“Semua pemain mengikuti latihan sebulan di sana dan hanya dibenar pulang seketika ke Kuala Lumpur sebelum latihan kembali disambung semula di situ selepas itu.

Latihan itu akan berterusan sehingga Sukan SEA,” katanya.

Kepada soalan apakah mental dan motivasi pemain berada di tahap terbaik, Tengku Adnan berkata: ”Ya, pemain seronok bermain sepak takraw sekarang. Rasanya sudah lama tidak melihat mereka harmoni seperti sekarang.

“Motivasi dan mental mereka lebih positif terutamanya selepas menang pingat emas Siri Super ISTAF. Saya harap latihan itu memberi prospek baik kepada kita untuk menyerlah di Sukan SEA nanti”.

Tengku Adnan berkata PSM tidak meletak sasaran pingat di kejohanan seperti diumumkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Apapun, matlamat PSM sentiasa untuk meraih pingat terbaik dalam setiap kejohanan disertai dan sasaran itu tidak berubah.

“Saya rasa tiada siapa mahu tewas walaupun menang dan kalah lumrah pertandingan. Pemain mesti fokus dan memperbaiki prestasi,” katanya.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas sepak takraw mengatasi musuh tradisi Thailand 2-0 pada Sukan SEA Filipina 2005.

Sebelum itu Malaysia pernah menggenggam emas temasya dwitahunan itu di Singapura pada 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 7:03 AM