AZMI (kiri), Andik (gambar kecil) dan Norazlan (kanan) cedera.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Masalah kecederaan tiga tonggak Selangor membabitkan Andik Vermansyah, Mohd Azmi Muslim dan Norazlan Razali kian merunsingkan ketika skuad Merah Kuning dalam persediaan terakhir bagi menghadapi cabaran FELDA United dalam saingan Piala FA, Sabtu ini.

Selepas mengharungi tiga aksi Liga Super dengan hanya mampu mengutip dua mata tanpa sebarang kemenangan The Red Giants berhasrat memahat kemenangan pertama musim ini dengan menjadikan FELDA United sebagai mangsa.

Namun kecederaan tiga pemain itu sewaktu bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) minggu lalu, mengundang keresahan pengendali Mehmet Durakovic.

“Azmi masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan selepas berlanggar dengan Norazlan yang menjadi punca kepada gol Johor DT tempoh hari. Begitu juga dengan Norazlan dan Andik, kedua-duanya mengalami kecederaan namun tidak begitu serius.

“Mereka berdua masih menjalani latihan seperti biasa kecuali Azmi. Saya akan pantau tahap kecederaan mereka hari ini (semalam) dan esok (hari ini) sebelum memutuskan senarai pemain yang akan diturunkan nanti.

“Sudah pasti saya tidak mahu kehilangan mereka kerana khidmat ketiga-tiganya begitu penting. Cuma persoalannya sama ada mereka bakal bermain atau tidak masih menjadi tanda tanya.

“Namun, jika khidmat mereka tidak dapat digunakan saya masih ada pemain muda yang mampu mengisi kekosongan,” katanya.

Mehmet, 50, menyifatkan kunjungan pasukannya ke Selayang berdepan pendahulu Liga Super FELDA United antara ujian cukup getir memandangkan The Fighters kini berada di puncak prestasi mereka.

“Pasukan mereka cukup berpengalaman ditambah dengan pemain import yang begitu baik. Bukan mudah untuk menundukkan mereka, tapi kami juga semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Keputusan seri 1-1 dengan Johor DT menunjukkan kami semakin meningkat dan saya yakin jika kami beri 100 peratus dalam aksi itu kemenangan boleh dicapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 8:16 AM