LOVE (kiri) ketika sidang media di Palm Beach Gardens, Florida.
LOVE (kiri) ketika sidang media di Palm Beach Gardens, Florida.
Reuters

Palm Beach Gardens, AS: Kapten baru dilantik pasukan Piala Ryder Amerika Syarikat, Davis Love III menyatakan beliau sudah belajar daripada kesilapan ketika kalah dan akan mendapatkan nasihat sebelum pertembungan menentang Eropah pada 2016.

Love menjadi kapten pada 2012 apabila AS kecundang pada perlawanan yang menyaksikan satu daripada kebangkitan terhebat dalam sejarah 80 tahun kejohanan itu yang dipanggil “Keajaiban di Medinah.”

Bekas juara Kejohanan PGA berusia 50 tahun itu berkata, beliau kesal kerana tidak mendapatkan sebarang nasihat daripada kapten atau pemain berpengalaman Piala Ryder ketika kali pertama tampil sebagai kapten.

“Kami perlu menyertakan sebanyak mungkin pemain yang memiliki pengalaman Piala Ryder,” kata Love ketika sidang akhbar pengenalannya semalam.

“Saya bercakap dengan hampir semua bekas kapten dan saya menegaskan kepada mereka saya akan bergantung harap kepada mereka kali ini kerana saya sudah melakukan kesilapan.

“Itulah perkara terbesar. Kami cuba membina masa depan di sini dan menggunakan pengalaman bekas kapten dan pemain sesuatu yang menjadi sebahagian besar budaya baru ini.”

Ketika perkataan seperti ‘keluarga’ dan ‘rancangan perniagaan’ sering diperkatakan Love pada sidang akhbar pengenalannya itu dengan Amerika cuba mencari semangat sepasukan dan perancangan yang dirasakan tiada pada pertandingan terakhir, kapten baru itu tidak merancang sebarang pendekatan radikal.

“Saya tidak fikir kami perlu melakukan perubahan besar. Kami perlu melakukan beberapa perubahan kecil yang boleh menokok beberapa mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 8:28 AM
Digital NSTP Subscribe