TAN (tengah) mengumumkan keputusan kewangan HLFG separuh pertama 2015, semalam.
TAN (tengah) mengumumkan keputusan kewangan HLFG separuh pertama 2015, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG) mengunjurkan segmen pembiayaannya stabil dan mampu mencatatkan peningkatan tujuh peratus tahun ini walaupun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan April ini.

Ini berikutan produk pembiayaan seperti dalam segmen konsumer antaranya pembiayaan peribadi, kenderaan dan perumahan masih mendapat sambutan dan menjadi keperluan pasaran tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Kong Khoon berkata, situasi operasi pembiayaan di Malaysia masih di peringkat positif dari segi konsep pembiayaan yang bertanggungjawab dalam kalangan peminjam dan ini memberi kesan positif kepada peningkatan segmen peniagaan itu.

Beliau berkata, dari segi pembiayaan tidak berbayar (NPL), bank mencatatkan penurunan 0.9 peratus setakat ini daripada 1.2 peratus pada tahun kewangan sebelum ini yang menunjukkan situasi pembiayaan yang baik.

“Segmen pembiayaan peruncitan penting bagi Hong Leong Bank apabila ia meningkat 9.3 peratus dari setahun ke setahun atau 2.5 peratus dari suku ke suku. Produk perumahan mencatatkan RM42 bilion yang meningkat 15.1 peratus dari setahun ke setahun.

“Segmen individu menyumbang 62.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan kasar diluluskan. Segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal pada peningkatan sembilan peratus kepada RM16.8 bilion,” katanya pada taklimat kewangan HLFG separuh pertama 2015 yang berakhir 31 Disember 2014, semalam.

HLFG mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.54 bilion pada separuh pertama tahun 2015, merosot 1.4 peratus berbanding tempoh sama 2013 berikutan penguncupan keuntungan cabang perniagaan insuransnya, HLA Holdings Sdn Bhd (HLA Holdings).

HLA Holdings mencatatkan RM111.3 juta keuntungan sebelum cukai pada separuh pertama 2015 yang menguncup 33.7 atau RM56.6 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Katanya, segmen perniagaan bank komersialnya, Hong Leong Bank Bhd (Hong Leong Bank) menunjukkan prestasi positif dengan mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 3.5 peratus kepada RM1.41 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 9:46 AM
Digital NSTP Subscribe