Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Program lawak terulung Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 kembali menemui penonton dengan barisan peserta dan gandingan terbaru bermula 14 November ini. 

Program yang bersiaran setiap Jumaat, jam 10 malam ditayangkan menerusi Astro Warna (Saluran 132) dan Mustika HD (Saluran 134) serta Astro on-the-go (Warna).

Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, mereka sentiasa berusaha menyusun strategi terbaik bagi memastikan program ini menepati citarasa penonton.

"Kami bawakan musim terbaru ini dengan mengekalkan sebahagian besar format sedia ada di samping memperkenalkan beberapa kelainan terutamanya gandingan barisan peserta.

"Musim ini bakal menyaksikan persaingan yang amat sengit dalam kalangan pemain komedi profesional terbaik yang masing-masing mempunyai portfolio seni mengagumkan dalam bidang ini," katanya.

Sebanyak 10 barisan pelawak sudah berjaya menempah tiket awal untuk beraksi secara automatik di MLM 2014 iaitu Sepahtu, Shiro, Bocey, Virus, Nabil, Comey, Jalor, Sayot, Kepoh dan SYJ.

Kejutan berlaku apabila Rahim tidak lagi meneruskan cabaran bersama Jep dan Shuib dalam Sepahtu sebaliknya memilih untuk bersama Along dan Joey dalam kumpulan Jalor.

Tempatnya digantikan oleh Ilya yang juga pelopor kumpulan Senario manakala Zizan Razak membawa cabaran bersama Tauke dan Yus dari kumpulan Jambu yang kini dikenali sebagai Virus.

Sementara itu 16 lagi kumpulan perlu bersaing di pusingan Kerusi Panas MLM pada 31 Oktober dan 7 November ini untuk melayakkan diri dalam MLM 2014.

Hanya empat kumpulan akan dipilih oleh juri profesional untuk melengkapkan jumlah 14

peserta MLM 2014.

Turut berada dalam senarai ini ialah peserta musim lalu iaitu Wala yang dianggotai oleh Wan dan Lopz serta Zero yang dianggotai Sahrif Kadil Doli Sahrif, Mohammad Syaiful Doli Sahrif dan Sharif Kunal Doli.

Juara MLM 2014 akan menerima hadiah wang tunai RM500,000.

Sistem pemarkahan dikekalkan iaitu 70 peratus oleh juri tetap dan 30 peratus daripada undian penonton.

Datuk AC Mizal juga turut kekal sebagai pengacara untuk musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:58 PM
Digital NSTP Subscribe