BANYAKKAN makan buah-buahan untuk mendapatkan vitamin C.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Sama ada lelaki mahupun wanita, kulit kusam, bekas jerawat dan tidak bermaya antara masalah yang dihadapi sejak remaja. Apabila menginjak dewasa, perkara lebih ‘menakutkan’ datang menghantui wanita iaitu garis halus yang mula kelihatan, kerutan dan kulit mengendur.

Amalan gaya hidup tidak sihat menyebabkan tanda penuaan ini mula kelihatan sebelum usia mencapai 30-an.

Pertambahan berat badan secara drastik, pemakanan juga terdedah kepada cahaya matahari sehingga pemakaian produk perawatan kulit yang tidak sesuai menjadikan masalah kulit bertambah teruk.

Walaupun terdapat pelbagai jenis rawatan disediakan di pusat kecantikan, bukan semuanya sesuai dengan masalah kulit anda. Ada yang menyebabkan kulit menjadi lebih teruk seperti kesan terbakar, hitam, berparut sehingga menjadi punca kanser kulit.

Menurut Pakar Estetik Klinik Premier di Taman Tun Dr Ismail Dr Kee Yong Seng, sama ada lelaki mahupun wanita harus berhati-hati memilih teknik rawatan sesuai supaya ia tidak mendatangkan kesan bahaya kepada kulit. Paling penting, prosedur ini tidak membabitkan operasi pembedahan, suntikan dan menyebabkan parut atau bekas berpanjangan.

Salah satu rawatan terkini yang mula mendapat perhatian dan digunakan di seluruh dunia adalah ultherapy iaitu prosedur menegangkan kulit muka menggunakan gelombang ultra bunyi (USG) yang memberikan tenaga pada suhu sekitar 65 hingga 70 darjah Celsius dan boleh memasuki sehingga kedalaman 1.5 mm, 3mm dan 4.5mm.

Dr Kee yang melakukan rawatan ini kepada Chef Zam menjelaskan, prosedur yang sama turut diberikan kepada pelanggan wanita.

Sambil menunjukkan bagaimana prosedur ini dilakukan, jelas Kee, wajah dibersihkan terlebih dulu bagi membuang semua kotoran. Kemudian, sejenis krim disapu bagi mengurangkan rasa panas akibat penggunaan ultherapy.

Wajah kemudian disapu dengan gel bagi memperlihatkan keadaan dalam kulit dengan lebih jelas. Kaedah ini sesuai digunakan untuk semua jenis kulit sama ada berminyak atau kering. Alat yang seakan-akan sama digunakan untuk ibu hamil ini diusapkan ke pipi dan bawah dagu kerana bahagian ini mudah mengendur disebabkan perubahan berat badan dan faktor usia.

“Pada masa inilah sel kulit akan memberikan tindak balas dengan merangsang proses pembentukan kolagen baru sehingga lapisan kulit terasa sedikit tegang,” katanya yang menjelaskan ultherapy bukan saja sesuai untuk menghilangkan tanda penuaan, tetapi membantu agar wajah kelihatan lebih tirus.

Hanya dengan sekali rawatan membabitkan proses regeneratif, hasilnya dapat dilihat dengan lebih jelas selepas dua hingga tiga bulan. Malah dalam jangka panjang, ia bertahan selama satu hingga dua tahun bergantung kepada gaya hidup seseorang. Ultherapy sesuai bagi mereka yang berusia 30 tahun ke atas.

Bagaimana proses penuaan berlaku

Menurut Dr Kee, proses penuaan berlaku disebabkan berkurangnya kolagen pada kulit. Apabila bahan penting ini berkurangan pada bahagian epidermis dan dermis, timbul kedutan halus. Seiring pertambahan usia, lama-kelamaan kulit menjadi kendur dan jatuh sehingga garis rahang menjadi tidak tegang dan muka melebar ke bawah.

Akhirnya wajah yang biasanya berbentuk segitiga terbalik dengan hujung tajam di bawah berubah menjadi hujung tajam di atas dan lebar di bawah. Selain wajah, ultherapy boleh dilakukan pada bahagian leher dan di bawah rahang.

Walaupun rawatan ini membabitkan kos yang mahal, ia memberikan kesan sempurna kepada wajah. Berbeza dengan pengambilan kolagen semata-mata yang tidak dapat dipastikan kandungan bahannya.

Chef Zam yang kali pertama menggunakan ultherapy memberitahu, ketika mesin gelombang ultra bunyi diletakkan pada kulit terasa panas seperti menyucuk. Ini disebabkan tenaga USG memasuki ke dalam jaringan kulit sehingga membuatkan kulit menjadi tegang. Walaupun terdapat sedikit kesan kemerahan, ia tidak bersifat kekal.

Tip mendapatkan kulit sihat:

1. Makan makanan berkhasiat

Elak atau kurangkan makanan berlemak dan berminyak. Anda juga perlu mengelak pengambilan makanan yang boleh menyebabkan jerawat contohnya kentang goreng dan minuman soda.

Anda perlu mengenal pasti makanan yang tidak perlu untuk tubuh. Ini disebabkan setiap orang mempunyai keperluan berbeza. Jika anda rasa dengan makan coklat boleh menyebabkan jerawat, hentikan makan coklat. Banyakkan makan buah dan sayuran.

Pengambilan makanan tambahan yang betul juga perlu untuk menambah keperluan nutrisi contohnya vitamin C dan E yang amat terkenal sebagai antioksidan dan juga vitamin C untuk kulit cantik dan melawan radikal bebas.

2. Minum air putih lapan gelas sehari dan bersenam secara teratur

Sekiranya anda suri rumah, peluang bersenam memang ada. Pastikan sewaktu mengemas rumah, tutup kipas atau penyaman udara. Biarkan peluh keluar dari tubuh anda. Lakukan aktiviti menyapu, mengemas dan mengemop lantai sebagai rutin senaman di rumah. Jangan lupa banyakkan minum air kerana tubuh memerlukan air yang banyak.

3. Cuci muka sebelum tidur

Cuci muka terlebih dulu sebelum tidur. Anda juga boleh menggunakan krim malam untuk membaiki tekstur wajah atau melembapkan kulit. Sekali seminggu, gunakan pupur wajah. Jangan pula anda tidur dengan solekan di muka.

4. Tidur lapan jam sehari

Tujuannya merehatkan badan agar sistem tubuh berjalan dengan baik. Jika anda tidak cukup tidur, muncul masalah jerawat, tubuh lesu dan tidak bermaya. Selain itu, ada lingkaran gelap bawah mata.

5. Pakai krim pelindung matahari

Penting untuk melindungi kulit daripada sinaran cahaya matahari dengan memakai krim tabir suria. Ini bagi mengelakkan muka menjadi merah, terbakar dan timbul garis kedutan. Pakai krim tabir suria sebelum anda keluar rumah setiap hari.

6. Jangan merokok

Untuk wanita jangan merokok kerana rokok mengandungi bahan kimia berbahaya dan boleh merosakkan kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 12:22 PM