Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley gembira isu hutang RM21,000 dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) diselesaikan dengan cara baik selepas Majlis Sukan Negara (MSN) menjadi orang tengah.

Menurut Beasley, isu itu sebelum ini berpunca daripada masalah komunikasi.

“Kini saya bersedia untuk pandang ke depan, isu ini memang panjang untuk dibincangkan tadi, namun ia berjaya diselesaikan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) antara MSN dan PKBM semalam.

Jelas pengendali kelahiran Australia itu, beliau puas hati segala masalah membabitkan dirinya dengan PKBM juga berjaya diselesaikan dengan baik.

“Memang mereka (PKBM) masih belum membuat bayaran, tetapi setidak-tidaknya saya boleh memikirkan mengenai perancangan lain selepas ini.

“Bagaimanapun saya tidak boleh bekerjasama dengan Pegawai Khas Presiden PKBM Aizad Othman dan tidak mahu bekerja dengannya lagi,” kata Beasley.

Ujarnya, semua urusan mengenai pelumba yang berkampung di Melbourne akan diuruskan Mohd Izham Mohamad yang dilantik Ketua Pasukan Prestasi Sukan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, masalah membabitkan Beasley dan PKBM pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2015 Korat berlaku disebabkan masalah komunikasi.

“Semua harus mengambil sikap positif, tidak ada apa perlu diperbesarkan lagi selepas ini. Kami mahu pastikan pasukan kebangsaan terutama yang berlatih di luar negara mampu diuruskan dengan baik.

“Masalah hutang sebelum ini berkaitan komunikasi dan selepas berbincang masing-masing sudah mengetahui kedudukan sebenar,” katanya.

Dalam masa sama, Mesyuarat JKK semalam turut membincangkan Program Road To Rio yang selepas ini akan dikenali sebagai Program Podium membabitkan pelumba trek negara, Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa dan Ju Pha Som Net menjelang Sukan Olimpik 2016 Rio.

“Ju Pha akan fokus perlumbaan omnium dan dia pelumba wanita ketiga terbaik Asia bagi acara berkenaan. Dia akan menjalani latihan secara berselang-seli di Melbourne dan Malaysia. Di Malaysia bekas pelumba trek negara, Rizal Tisin akan mengikuti perkembangannya dan memberi laporan kepada Beasley.

“Pelumba trek senior lelaki bagi acara pecut pula menyaksikan Azizul bergandingan bersama Mohd Shah Firdaus Shahrom dan Mohd Firdaus Zonis, manakala bagi wanita pula Fatehah bergandingan dengan Farina Shawati Mohd Adnan,” katanya.

Pelumba trek endurance lelaki pula dibarisi Amir Mustafa Rusli, Sofian Nabil Omar Bakri, Nik Mohd Azwan Zulkefli, Mohd Fairet Rusli, Afiq Huznie Othman, Mohd Zawawi Azman, Hamdan Hamidun, Akmal Hakim Zakaria, Ahmad Muazzam Mustafa Kamal, Asyraf Naim Ying, Nik Mohd Azwan Zulkifle, Irwandie Lakasek dan Mohd Farid Razali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:25 AM