MCLLROY tiga kali menang Piala Ryder.

Palm Beach Gardens, AS: Pemain nombor satu dunia Rory McIlroy terkejut Davis Love III dilantik sebagai kapten Piala Ryder pasukan Amerika Syarikat (AS) tahun depan.

McIlroy kembali bertanding pada kejohanan Klasik Honda minggu ini dan bermain kali pertama di bumi Amerika tahun ini selepas rehat tiga minggu sejak menjuarai Klasik Dubai Desert.

Pemain Ireland Utara yang memenangi trofi Piala Ryder tiga kali dan juara empat kejuaraan utama, ditanya mengenai reaksinya terhadap pelantikan Love.

“Saya berasa amat terkejut apabila mereka mengumumkan Davis akan menjadi kapten AS,” kata McIlroy.

“Memang hebat menyaksikan Davis dan (kapten Eropah) Darren (Clarke) bertembung sesama sendiri di Hazeltine dan mereka pastinya lawan yang mengagumkan.

“Tapi saya juga terkejut dan berasa mereka amat keterlaluan dengan pembentukan jawatankuasa bertindak serta bercakap mengenai perubahan yang mahu dilakukan.”

Eropah menang tiga trofi Piala Ryder terakhir dan lapan daripada 10 terakhir.

Love menjadi kapten pasukan AS pada 2012 di Medinah apabila mereka mensia-siakan pendahuluan 10-6 menjelang hari terakhir sebelum kecundang.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:07 AM