BERBUAL bersama gelandangan memberi banyak maklumat mengenai diri mereka.
BERBUAL bersama gelandangan memberi banyak maklumat mengenai diri mereka.

Prihatin dengan kehendak dan kekurangan gelandangan, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Gombak menganjurkan Program Prihatin Gelandangan yang bertempat di pekarangan Masjid Jamek, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program yang membabitkan seramai 90 sukarelawan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi sekitar Gombak, bermula seawal jam 10 pagi dan berakhir kira-kira 3 petang.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk memberi sumbangan makanan dan pakaian kepada lebih 50 gelandangan, berkongsi pengalaman hidup dan menyantuni golongan yang kurang kemampuan.

Pengarah Program Prihatin Gelandangan, Ahmad Muizzudin Ahmad Firoz berkata, objektif penganjurannya adalah untuk mengajak belia berbakti kepada masyarakat sekeliling terutama yang memerlukan.

“Kisah hidup masyarakat yang mempunyai latar belakang berbeza perlulah dicontohi kerana ia banyak menyedarkan belia agar lebih menghargai kehidupan serta tidak mensia-siakan usia dan waktu.

“Penganjuran program seperti ini juga akan disusuli dengan beberapa siri program lain pada masa akan datang seperti Street Dakwah, misi kemanusiaan banjir dan pelbagai lagi yang bermanfaat untuk belia dan masyarakat di luar sana,” katanya.

Penganjuran program itu berjaya mencapai objektif, tambahan pula semua peserta cukup bersemangat untuk menabur bakti. Malah, mereka turut memberikan komitmen untuk menyertai program seumpama itu pada masa depan.

Nasri Mohd Ghafar, 19, yang menuntut di International Islamic College berkata, program itu memberinya kesedaran untuk lebih bersyukur dengan apa yang dimilikinya sekarang.

Menurutnya, pengalaman dalam program disertainya itu juga mengubah perspektifnya terhadap golongan gelandangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 11:48 AM