SERAMAI 35 penuntut program akreditasi ICDL bergambar kenangan bersama Cariessa (duduk, lima dari kiri); Penyelaras ICT, Montfort Boys Town, Michael Lee (duduk, empat dari kanan) dan Pengurus Besar, Pemasaran & Perhubungan Awam, Montfort Boys Town, Mindy ST Wong (duduk, tiga dari kanan).
Oleh Siti Salmiah A Hamid

Kemahiran komputer satu keperluan mendepani era digital masa kini, lebih-lebih lagi kepada golongan muda yang ingin menguasai pelbagai maklumat terkini dan melangkah maju dalam kerjaya diceburi.

Menyedari senario itu, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd giat mengendalikan program berkaitan tek­nologi maklumat (IT).

Sudut IT F&N menerusi Montfort Boys Town yang dimulakan pada 2011 memberi peluang kepada orang ramai untuk menjalani kursus pensijilan International Computer Driving License (ICDL) selama enam bulan.

Program yang mendapat pengiktirafan antarabangsa ini memerlukan penuntut lulus empat modul yang menguji pengetahuan, kecekapan dan kemahiran komputer.

Ia akan memberi kefahaman mendalam kepada peserta mengenai konsep asas dan fungsi utama komputer seperti pengurusan fail, pemprosesan perkataan, hamparan elektronik, pangkalan data, pembentangan serta maklumat dan komunikasi.

Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages, Cariessa Goh berkata, pe­ngetahuan asas komputer amat penting dalam usaha membantu golongan belia melangkah maju dalam kerjaya mereka.

“Kecekapan menggunakan komputer kini diang­gap sebagai kemahiran asas seiring dengan kemahiran membaca, menulis dan mengira.

“Apabila melangkah ke dunia tanpa kertas yang memerlukan komunikasi melalui e-mel dan rang­kaian sosial, kemahiran asas komputer sangat penting untuk membantu belia melangkah maju dalam apa juga pekerjaan.

“Justeru, belia yang kurang bernasib baik dan tidak mendapat peluang untuk mempelajari kemahiran menggunakan komputer akan jauh ketinggalan.

“Menerusi inisiatif Sudut IT F&N, kami berharap dapat memberi peluang saksama kepada belia kurang bernasib baik dan dengan berbuat demikian, membuka lebih banyak peluang untuk mereka,” katanya.

Turut merebut peluang adalah guru seni reka grafik, Nurul Asikin Roslan, 26, yang menyertai program asas komputer.

“Kursus pensijilan ini ibarat batu loncatan untuk pelajar kerana mereka dapat mempelajari kemahiran komputer dan dijadikan asas apabila mereka meluaskan pengetahuan dalam perisian lain kelak,” katanya yang juga siswazah Universiti Teknologi MARA.

Theanmoli Kali, 20, dari Ipoh, Perak berpendapat kursus ICDL membantunya meluaskan bidang kepakaran dan mampu membuka lebih banyak peluang dan pilihan pekerjaan.

“Saya lebih suka bekerja dalam bidang penyenggaraan komputer yang lebih banyak dikuasai golongan lelaki berbanding wanita.

“Maka, program ICDL memberi peluang untuk saya meluaskan kepakaran dan memberi kelebihan untuk meninjau pekerjaan di luar bidang saya ketika mencari pekerjaan,” katanya.

Bagi seorang pelajar jurusan penyelenggaraan komputer, Joshua Hilary Teng, 19, ICDL menambah kefahamannya berkaitan perisian komputer dan membantu dirinya mempelajari kemahiran berguna apabila menceburi dunia pekerjaan.

Sejak kursus ICDL dimulakan pada 2011, lebih 160 pelajar sudah mengikuti program ini dan mendapat akreditasi antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 11:51 AM