RUANG kreatif seni Nando’s yang baru dilancarkan, LOT123.
PEMENANG utama tahun lalu bagi kategori seni halus, Mohammad Nor Hakim bersama hasil seninya.
Oleh Siti Salmiah A Hamid

Nando’s Malaysia melancarkan edisi kelapan pertandingan seni tahunan menerusi program inisiatif seni berkesinambungan tajaan jenama itu.

Sejak ditubuhkan pada 2008, Nando’s berkembang maju dan memperluas inisiatif itu untuk memastikan pelukis muda Malaysia benar-benar memperoleh manfaat daripada wadah ini.

Tahun lalu, dalam suatu ikhtiar untuk membolehkan lebih ramai individu mengetengahkan hasil karya mereka, dua kategori baru diperkenalkan. Tahun ini, Nando’s mengangkat Inisiatif Seni ke tahap lebih tinggi dengan mencatatkan satu lagi detik pencapaian penting.

Demi memastikan usaha yang lebih menyeluruh, Nando’s melabur untuk mempelbagaikan aspek program ini yang akan menggembleng sokongan padu pelukis daripada pertandingan dan bakat muda lain.

Ia membolehkan Nando’s mendekati lebih ramai anak muda yang meminati aspek seni.

Sebagai suatu entiti tersendiri, Inisiatif Seni Nando’s berfungsi secara bebas ­dengan menumpukan pada satu perkara iaitu memupuk pelukis muda berbakat dan memberi mereka peluang mengetengahkan hasil karya dan ruang khusus untuk berkarya.

Pada masa sama, Nando’s merasmikan pembukaan ruang kreatif baru menerusi LOT123 yang beroperasi mengasah bakat baru serta semangat terhadap dunia seni yang boleh diluah dan dikembangkan.

Selain pembukaan rasmi LOT123, jenama itu memperkenalkan logo baru yang menandakan babak baru bagi Inisiatif Seni Nando’s, dalam usahanya bukan saja bergerak sebagai pertandingan tahunan, sebaliknya suatu projek seni pada skala lebih besar.

Tema pertandingan tahun ini menerusi Seni Anda, ­Kisah Anda membolehkan peserta mengeluarkan idea dan kreativiti masing-masing tanpa batasan.

Ia membolehkan pelukis muda meneroka medium daya kreatif mereka dan melahirkan karya yang benar-benar menepati maksud seni yang ingin dipaparkan.

Keseluruhan hadiah bernilai sehingga RM85,000 menerusi tiga kategori dipertandingkan iaitu seni halus, seni digital dan seni grafiti dengan masing-masing menawarkan hadiah utama berjumlah RM5,000 dan baucar Nando’s bernilai RM500.

Namun, pemenang utama bagi kategori seni halus dan seni digital berpeluang me­ngadakan pameran solo yang ditaja sepenuhnya pihak Nando’s.

Pertandingan Inisiatif Seni Nando’s 2015 yang sedang berlangsung ini berakhir pada 31 Mac depan.

Pengadilan karya berdasarkan keaslian dan daya kreatif, konsep dan interpretasi tema, kualiti reka bentuk dan gubahan, penggunaan medium dan kemasan artistik serta kesan keseluruhan.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh layari di www.nandos.com.my/artinitiative.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 12:04 PM