Pemain MCKK Mohd Eizam Norzaman (tengah) membawa bola melepasi pemain Sekolah Menengah Haji Othman Abdul Wahab.
Pemain MCKK Mohd Eizam Norzaman (tengah) membawa bola melepasi pemain Sekolah Menengah Haji Othman Abdul Wahab.
Aida Adilah Mat

Kuala Kangar: Pasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) membuka langkah kanan apabila melakar kemenangan sulung pada hari pertama Kejohanan Ragbi Premier 7 Sepasukan MCKK, semalam.

Mempamerkan aksi permainan pantas, bekas juara 2013 itu menewaskan pasukan Sekolah Menengah Haji Othman Abdul Wahab, 24-12.

Muhammad Abdul Jazmi Abdul Harritz menjadi wira pasukan tuan rumah apabila melakukan dua try dengan Hilman Aqil Khamdi dan Muhammad Syahiran Suhaimi masing-masing melakukan satu.

Ketika perlawanan seakan-akan menyaksikan MCKK mampu melakarkan kemenangan mudah, lawan bangkit pada babak kedua untuk merapatkan kedudukan.

Ruzaini Mohamad berjaya melakukan dua try, namun gagal menyempurnakan satu conversion.

Sementara itu, jurulatih MCKK dari Fiji, Usaia Biumaiwai yakin pasukannya mampu terus melakar kemenangan pada baki dua perlawanan peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan seterusnya.

Biarpun begitu, beliau yang membawa MCKK muncul juara dua tahun lalu tidak mahu anak didiknya mengambil jalan mudah dan beraksi sambil lewa kerana setiap perlawanan perlu dianggap penting.

“Banyak yang perlu diperbaiki kerana pada perlawanan pertama mereka melakukan banyak kesilapan mudah dan berlari dengan teknik salah hingga lawan mudah membaca pergerakan,” katanya.

Sementara itu, dua lagi perlawanan menyaksikan Sekolah Tuanku Abdul Rahman menewaskan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, 19-5 manakala Victoria Institution dan Kolej Vokasional Arau mencatatkan keputusan seri 10-10.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:23 AM