MUHAMMAD Ali. FOTO AP
MUHAMMAD Ali. FOTO AP

Kuala Lumpur: Berita kematian petinju lagenda Muhammad Ali yang luas disebarkan di laman sosial awal minggu ini adalah palsu namun menyebabkan berlaku kebimbangan dalam kalangan peminat di seluruh dunia.

Beberapa media dan portal di Amerika Syarikat dipetik sebagai berkata, berita itu disahkan palsu dan adalah satu daripada beberapa laporan kematian selebriti yang pernah tersebar sebelum ini.

Wakil Muhammad Ali turut mengesahkan semalam bahawa petinju terkenal itu tidak meninggal dunia.

“Beliau seorang daripada mangsa selebriti penipuan ini.

“Beliau masih hidup. Jangan percaya semua yang dibaca di Internet,” katanya.

Laporan kematian petinju itu mula tersebar di Facebook selepas laman 'RIP Muhammad Ali' menarik hampir satu juta peminat atau 'likes'.

Laman itu menyatakan kononnya Muhammad Ali meninggal dunia pada 11 pagi, 20 Oktober lalu dan meminta peminat merakamkan ucapan simpati dan takziah selain ‘like’ laman itu.

Laporan palsu itu menyebabkan ratusan peminat segera mengucapkan takziah serta menyatakan kesedihan mereka bahawa petinju berusia 72 tahun yang berbakat telah meninggal dunia.

Laman Twitter juga hiruk pikuk ke atas laporan ini.

Namun, bukan semua peminat mempercayai laporan ini dan ada yang ragu setelah beberapa laporan selebriti lain meninggal dunia sebelum ini disahkan palsu.

Selain itu, tiada laporan mengenai kematiannya oleh media utama di Amerika Syarikat, kata mereka.

Satu tinjauan oleh Celebrity Post menunjukkan bahawa 93 peratus berpendapat khabar angin kematian Muhammad Ali tidak lawak.

Mereka menganggap laporan palsu seperti ini adalah menyusahkan dan boleh menyinggung perasaan mereka.

Namun, ada yang menganggap ia menunjukkan petinuju itu seorang yang popular di seluruh dunia.




Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 12:59 PM