Marc Anthony adalah lelaki pertama mengakui Jennifer Lopez banyak berkorban dan bekerja keras demi memajukan kerjayanya sebagai penyanyi. Dalam segala perkara yang dilakukan wanita itu, bekas suaminya pasti akan sentiasa memberi sokongan.

"Saya sangat bangga dengan pencapaian Jennifer. Saya tahu segala kepayahan yang dihadapi demi merealisasikan sesuatu yang diimpikannya. Saya sentiasa menyokong dia dalam semua perkara," katanya.

Walaupun Anthony dan Jennifer bercerai, penyanyi itu selesa berkongsi cerita dan masalah dengan bekas suaminya hingga meminta pendapat Anthony mengenai setiap lagu barunya.

Jennifer tidak kisah bercerita mengenai perceraian mereka tetapi Anthony lebih bersikap tertutup. Katanya, kisah rumah tangga bukan perkara yang boleh dikongsikan dengan orang ramai.

"Saya tidak pernah bercerita mengenai hal rumah tangga, terutama perceraian, kepada orang lain. Bagi saya, ia terlalu peribadi untuk dikongsi dengan orang lain.

"Sampai bila-bila pun saya tidak akan bercerita mengenai perkara itu. Ia bukan hal penting untuk menjadi tatapan masyarakat. Bagaimanapun, terpulang sama ada Jennifer ingin berkongsi atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:02 AM