PEMAIN HKSS bersama trofi dimenangi.
PEMAIN HKSS bersama trofi dimenangi.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Kangsar: Satu pertarungan sengit dipamerkan pada final Kejohanan Ragbi Premier Tujuh Sepasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang menyaksikan Hong Kong Sports School (HKSS) dinobat juara baru kejohanan.

HKSS bangkit daripada ketinggalan pada babak kedua untuk menewaskan juara bertahan Scots College New Zealand (SCNZ) 31-12 biarpun lawan mendahului 12-7 pada separuh masa pertama.

Bagi jurulatih KHS, Fan Shun Kei pertukaran strategi dengan menggantikan beberapa pemain pada babak kedua membuahkan hasil apabila mereka berjaya menguasai perlawanan tanpa langsung membiarkan SCNZ melepasi pertahanan HKSS.

“Ia satu perlawanan akhir sengit dan menarik apabila lawan bermain dengan baik pada babak pertama menyaksikan kami ketinggalan.

“Saya terpaksa membuat pertukaran dengan memasukkan pemain yang mempunyai kelebihan fizikal. Apabila kami mula mendapat rentak, pemain hanya kekal konsisten hingga tamat perlawanan,” kata Shun Kei.

Sekadar mara ke suku akhir tahun lalu dan hanya mengekalkan tiga tonggak lama, Shun Kei berkata, pemainnya mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan dengan Liam Herbert muncul wira HKSS apabila menyempurnakan dua try dalam perlawanan akhir semalam.

Mark Coebergh yang melakukan try buat HKSS pada separuh masa pertama dinobat pemain terbaik perlawanan manakala Sam Walsh dan Lucas Portillo masing-masing menyempurnakan satu try buat HKSS dengan semuanya disempurnakan pada babak kedua.

Manakala try SCNZ dilakukan pemain terbaik kejohanan, Connor Garden-Bacnod pada minit keempat dan Malo Manuao kemudian meletakkan SCNZ di depan selepas tujuh minit.

Sementara itu Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Gombak (INTERGOM) muncul juara kategori Plate selepas menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail 38-24.

Ia kejayaan besar buat INTERGOM yang kali pertama menyertai kejohanan itu. Majlis turut dimeriahkan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 7:54 AM