ROSLAN melihat keadaan kereta miliknya yang dipercayai dibakar dengan 'molotov cocktail'. FOTO Bernama
Oleh Zuliaty Zulkifli


Jitra: Kereta milik seorang pegawai kanan kastam Kedah rentung dipercayai dibaling cecair molotov koktel di hadapan rumah mangsa di Taman Bukit Indah, Jitra, jam 5.20 pagi tadi.

Roslan Othman, 56, yang bertugas di Bahagian Import Eksport Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Kayu Hitam mengesyaki kejadian itu mungkin disebabkan ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tugasnya mengawal di kawasan itu sejak 2010.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi, kereta Perodua Kelisa miliknya rentung dipercayai dibaling dengan botol mengandungi molotov koktel sehingga menyebabkan kenderaan yang diletakkan di pekarangan rumahnya rentung.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan suspek yang dipercayai melakukan perbuatan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan pihak kami sudah mengambil keterangan daripada pengadu untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 6:10 PM