ADAM (kanan) dan Shahrin (dua dari kanan) menyerahkan angpau kepada penghuni Damai Home Care.
ADAM (kanan) dan Shahrin (dua dari kanan) menyerahkan angpau kepada penghuni Damai Home Care.
KEDATANGAN maskot Mamee menceriakan hati warga tua.
KEDATANGAN maskot Mamee menceriakan hati warga tua.
Oleh Nor Akmar Samudin


Meskipun pelakon Adam Corrie Lee Abdullah, 47, sudah memeluk Islam lapan tahun lalu, hubungan dengan keluarganya masih mesra seperti dulu.

Buktinya setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, mereka akan menyambutnya bersama-sama.

Keluarganya juga amat memahami pegangan agama baru pelakon itu turut memahami pantang larang sebagai seorang Islam.

Adam yang kematian bapanya beberapa tahun lalu kini hanya memiliki ibu yang tinggal di Kampung Laneh, Kuala Kangsar, Perak.

Dalam sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, Adam dan isterinya, Fazema Mohd Fuad, 37, pulang ke Kuala Kangsar sebelum hari perayaan untuk ‘makan besar’ bersama ibu dan adik-beradiknya yang lain.

“Setiap tahun saya akan menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga. Bagaimanapun, dalam soal makan minum, saya akan beli makanan di luar. Ibu faham dan tidak berkecil hati malah, dia yang berpesan supaya beli di luar dan bawa pulang untuk makan di rumah bersamanya,” katanya.

Adam ditemui di pusat jagaan Damai Home Care Cheras, Kuala Lumpur yang menempatkan lebih 20 warga tua bangsa Cina.

Adam ke sana memenuhi undangan Mamee-Double Decker Sdn Bhd menerusi Mamee Fun Squad yang meraikan warga tua di sana sempena Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Menurut Adam, dia gembira menerima pelawaan itu kerana baginya tidak kira agama apa pun ia tetap mengajak ke arah kebaikan dan bangsa apapun, orang tua mesti dihormati dan disayangi.

“Orang tua berhak untuk berasa gembira kerana pengorbanan mereka sebagai ibu bapa yang membesarkan kita, memang tiada nilainya,” katanya yang bakal muncul dengan filem terbaru Cicakman 3 pada 12 Mac ini.

Sementara itu kata Penolong Pengurus Penajaan, Aktivasi dan Perhubungan Awam, Mohd Shahrin Roslan berkata, kempen Mamee Prihatin adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat mereka.

“Adanya kempen ini, pihak kami berharap dapat memberi sedikit keceriaan kepada insan yang kurang bernasib baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 10:52 AM
Digital NSTP Subscribe