POTRET Nemtsov digantung di tempat dia ditembak mati di tengah Moscow, Russia, semalam.

Moscow: Penyiasat Russia semalam bergegas menjejaki pembunuh tokoh pembangkang negara itu, Boris Nemtsov selepas beberapa maklumat terbaru berhubung pembunuhan berkenaan didedahkan.

Kematian bekas Timbalan Perdana Menteri berusia 55 itu dianggap pembunuhan politik paling mengejutkan sepanjang pemerintahan Presiden Vladimir Putin.

Nemtsov yang lantang mengkritik Putin dan menentang amalan rasuah ditembak mati Jumaat lalu ketika berjalan di jambatan tidak jauh dari Kremlin.

Putin berikrar untuk membawa pembunuh itu kemuka pengadilan dan mengarahkan ketua polis Russia mengendalikan kes berkenaan.

Kerajaan juga menawarkan ganjaran berjumlah AS$48,000 (RM174,091) kepada sesiapa yang memberikan maklumat berhubung kematian Nemtsov.

Beberapa motif pembunuhan Nemtsov mula timbul termasuklah pendiriannya yang lantang menentang peranan Moscow dalam konflik di Ukraine.

Dia juga disyaki dibunuh kerana mengkritik serangan terhadap majalah satira Charlie Hebdo di Paris, Perancis oleh beberapa lelaki bersenjata pada Januari lalu.

Terdapat juga dakwaan pembunuh berkenaan mahu menjejaskan kestabilan dan mencetuskan huru-hara di Russia.

Konflik di Ukraine menyebabkan hubungan Russia dengan Barat kini berada dalam fasa paling buruk sejak Perang Dingin berakhir.

Spekulasi turut tertumpu terhadap keterangan seorang model wanita kelahiran Ukraine, Duritska yang berada bersama Nemtsov ketika beliau dibunuh.

Duritska, 23, dilaporkan berjalan bersama Nemtsov selepas makan malam di sebuah restoran berhadapan dengan Dataran Merah.

Sebelum kejadian, Nemtsov menghadiri satu wawancara secara langsung dengan radio propembangkang dan menggesa satu bantahan diadakan bagi mendesak perang di Ukraine ditamatkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:10 AM