HANAFIAH (kanan) suntik semangat pemain baru.
HANAFIAH (kanan) suntik semangat pemain baru.
Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Tiada jalan pintas dan mesti komited menyarung jersi negara.

Begitulah amanah serta cabaran diberikan terhadap 24 pemain bersaing mencari 12 hingga 15 tempat dalam skuad negara yang akan beraksi pada Siri Super ISTAF, Piala Raja Thai dan Sukan SEA di Singapura.

Ketua jurulatih Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Abdul Talib Ahmad berkata, beliau mahu memilih pemain terbaik bagi membawa cabaran skuad kebangsaan ke ketiga-tiga kejohanan terbabit.

Katanya, pemilihan dibuat menerusi penilaian semasa dengan bertukar-tukar lokasi latihan di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

“Sejak mengambil alih pasukan ini dua bulan lalu, saya dapati semua 24 pemain yang rata-rata muda begitu bersemangat tinggi.

“Tiada masalah disiplin dan semua bertekad membawa cabaran terbaik dan serius mencari tempat beraksi di kejohanan bertaraf tinggi.

“Sekarang yang penting adalah latihan bersistem. Saya cuba mengurangkan tekanan emosi dan mental agar mereka seronok bermain takraw,” katanya.

Talib sebelum ini melatih skuad sepak takraw Negeri Sembilan, mengambil alih skuad kebangsaan pada Januari lalu.

Beliau membawa skuad kebangsaan memenangi pingat emas acara regu Siri Super ISTAF 2015 di Melaka, bulan lalu.

Talib berkata, rombakan regu utama juga akan dilakukan sekiranya perlu mengikut keadaan dan kesesuaian.

“Apa saya cari sekarang adalah adunan terbaik pemain regu kedua dan ketiga kita. Saya sudah ada gambaran pemain terbabit tapi masih perlu menilai dalam masa beberapa minggu ini.

“Saya yakin pemain muda kita mampu memikul cabaran andai dapat menyuntik mental tinggi dalam jangka panjang.

“Sekarang fokus sudah ada. Saya mahu membentuk skuad sepak takraw yang harmoni dengan sasaran kita mengatasi Thailand.

“Kita melepasi cabaran pertama dan perlu meneruskan momentum. Tiga pemain Syahir Rosdi, Hanafiah Dollah dan Farhan Adam harus terus menyuntik semangat untuk pemain lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:43 AM