Kuala Lumpur: Ibarat ada sinar di hujung jalan. Barisan jurulatih tempatan badminton negara kini boleh menghela nafas lega apabila Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen bersetuju menawarkan kontrak baru dua tahun kepada mereka.

Sebelum ini kontrak Rashid Sidek, Pang Cheh Chang, Tey Seu Bock, Rosman Razak dan Wong Tat Meng berakhir hujung tahun lalu namun BAM memberi kontrak lanjutan sehingga akhir Mac sementara menunggu kehadiran Frost di Malaysia.

Bagaimanapun, pertemuan singkat beberapa jurulatih tempatan bersama Frost di ibu pejabat BAM semalam di Stadium Juara, Bukit Kiara berakhir dengan khabar gembira.

“Sekarang kami tidak perlu risau lagi kerana Frost akan memperbaharui kontrak kami selama dua tahun. Jadi buat masa sekarang tidak ada sebarang kebimbangan,” kata jurulatih perseorangan negara, Seu Bock semalam.

Jelasnya, sekarang ini mereka berharap dapat bekerjasama dengan baik dengan Frost yang memulakan tugas semalam.

“Sudah tentu semua pemain dan jurulatih kembali bersemangat. Pertemuan dengan Frost sebentar tadi (semalam) berjalan dengan positif.

“Saya rasa beliau tidak akan melakukan banyak perubahan. Kalau ada perubahan pun bukan masa sekarang. Beliau juga ada menyentuh soal kontrak kami dan berjanji akan menyelesaikan minggu ini atau minggu depan,” katanya.

Seu Bock berkata, sama ada pertemuan pertama (Januari lalu) atau kedua (semalam), semua jurulatih selesa dengan Frost.

“Mengenai masalah pemain meninggalkan BAM pula, saya rasa untuk bahagian perseorangan lelaki kami tidak berdepan masalah tapi Frost secara keseluruhan akan cuba menyelesaikannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:53 AM