Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen bersedia mengejutkan skuad badminton negara dari tidur dan kembali berada di landasan terbaik.

 Frost melapor diri pada hari pertama di ibu pejabat BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam, mengakui Malaysia ibarat gergasi yang sedang tidur.

“Saya sudah bersedia. Ini tugas yang menarik, orang cintakan sukan badminton sentiasa bersedia dengan cabaran mendatang. Saya akan melakukan program jangka panjang dan pendek,” katanya kepada media semalam.

Bekas pengarah kejurulatihan negara era lewat 90-an itu berkata, beliau akan melihat secara keseluruhan sistem BAM termasuk struktur jurulatih dan pemain.

“Saya akan menyenaraikan apa yang perlu dilakukan. Sebelum ini juga saya sudah bertemu dengan barisan kejurulatihan di Kuching (Januari lalu).

“Malaysia mempunyai ramai pemain berpotensi, apa yang perlu dilakukan mencari jalan menggilap mereka. Memang banyak beza jika hendak dibandingkan 20 tahun lalu dan sekarang,” kata bekas pemain kebangsaan Denmark itu.

Frost berkata, beliau yakin mampu bekerjasama dan mengulangi pencapaian seperti mana era lewat 90-an itu.

“Saya akan menjalankan tugas dengan cemerlang sekali lagi. Bukan hanya di bahagian perseorangan lelaki tapi semua. Saya mempunyai idea tapi terlalu awal untuk menghuraikannya. Semua perkara harus diperhalusi tapi perlu berhati-hati kerana tahun ini ada kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

“Banyak perkara perlu dititikberatkan tapi untuk peringkat awal saya perlu mengenali semua pemain dan jurulatih dengan lebih dekat. Malaysia sentiasa mempunyai pemain bagus tapi kita harus mencari di mana mereka berada,” kata Frost.

Pada masa sama Frost juga bersedia melihat di bahagian akar umbi terutama Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang banyak melahirkan pemain badminton negara.

“Kebanyakan pemain berusia 18 hingga 20 tahun harus dipersiapkan lebih awal. Itu yang saya lakukan kepada Datuk Lee Chong Wei ketika masih remaja.

“Semua harus berdedikasi, kerja keras dan paling penting berdisiplin. Pesanan ini untuk saya sendiri juga,” katanya yang mempunyai kontrak bersama BAM sehingga 2020.

Frost juga bersedia melihat semula kontrak jurulatih yang rata-ratanya berakhir hujung bulan ini.

Mengenai kes doping Chong Wei, beliau tidak boleh melakukan sebarang tindakan kerana perkara itu sudah lama berlaku namun yakin bekas pemain nombor satu dunia itu bakal mendapat pembelaan sewajarnya.

“Serahkan perkara ini kepada pakar,” katanya yang turut berasa simpati berikutan BAM tidak mempunyai wakil di Seluruh England 2015 untuk perseorangan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:55 AM