Oleh Lily Haslina Nasir

Mimpi aneh saya empunya,

Naga ganas dingin apinya.

Keluar dari kamar Chairil dengan seribu rasa. Sebal dan mual. Senyum sinis dan kerlingan tajam Chairil menusuk lagi menghiris kalbu. Batin bersilang jeritan. Malu! Aib! Nyaris tersungkur di lutut Chairil! Aduhai kenapa aku tak siasat siapa mamat tu sebenarnya!

“Huda... CR tu nama pendek Tuan Chairil ya?” Dalam teragak-agak Sofea bertanya pada Nisa dan Huda di hadapannya petang itu.

“Aha, kenapa?” Sahut Nisa.

“Saya tak tahu. Tadi saya masuk bilik Tuan Chairil. Effa suruh saya cari fail. Saya tak sangka lelaki yang duduk di sofa dalam bilik tu Tuan Chairil.” Dalam berhati-hati dia berkongsi kisah. Mahu meleraikan rasa tertekan sebenarnya.

“Eh, Pia tak kenal lagi ya mana satu bos muda kita?” Huda berpaling pada Sofea.

“Tahu namanya saja.”

“Hah, kadang-kadang orang panggil dia CR. Ada masa kami panggil dia Cougar. Kalau angin dia tak baik, dia amuk satu pejabat macam anak harimau jadinya. Tapi anak harimau yang handsome!” Balas Sofea sambil mengulum senyum kecil.

Terkebil-kebil Sofea mendengar gurauan Nisa yang sama-sama menyusun dokumen dengannya sebelum masuk mesyuarat.

“Kenapa Pia pucat sangat ni?” Tegur Huda yang menyedari sesuatu.

“Cougar? Gurau ke?” Sofea seperti tidak percaya.

“Betul! C untuk Chairil, C jugak untuk Cougar. Tuan Chairil yang ada masa jadi anak harimau jadi-jadian!”

Tersangkut-sangkut nafas Sofea. “Sebenarnya hari pertama saya di sini saya dah terserempak dengan dia. Saya tak sangka dia tu anak bos.”

“Tak apalah. Staf baru memanglah tak kenal bos-bos atas ni.” Huda menenangkan.

“Tapi masalahnya, saya panggil Tuan Chairil masa tu abang jaga parking.”

“Hah? Pia panggil dia abang jaga parking? Goshhh!” Nisa terkejut bukan kepalang.

“Saya tak sengaja. Saya memang tak tahu. Dia tegur saya masa di parking. Sempat saya minta tolong dia pandu kereta Fiat saya tu naik ke tingkat 20.”

“Habis tu?”

“Hah... apa jadi?” Dua sahabat itu berebut ingin tahu.

“Dia tolong. Tak sangka dia bos. Sebab dia pakai selekeh masa tu. Betul-betul macam budak jaga parking.”

“Ya Allah! Memanglah Tuan Chairil kalau pergi site pakai sempoi. Tapi sempoi-sempoi pun kekadang cair tengok dia. Dengan jeans koyok dia tu, sama baju t-shirt putih tu pun dah nampak badan ketak-ketak dia.”

“Hahaha sempat kau scan six-pack dia!”

“Dah dia pakai baju melekat badan. Memang nampaklah!”

“Masa dia tolong tu dia tak sembang apa-apa ke?”

Sofea geleng. Muka dia memang putih tidak berdarah. Bibir diketap rapat-rapat. Perut terasa sangat senak.

“Tu yang masa masuk bilik dia tadi, saya abang jaga parking tu saja-saja lepak situ nak mengacau saya.”

“Nak buat macam mana. Tak sengaja. Buat tak reti sudahlah.” Pujuk Nisa sambil mengerling jam di dinding. Sempat solat zohor sebelum menghadap bos mudanya itu.

“Tak apalah. Kita saja yang tahu. Alah, hari raya nanti minta maaf!” Sampuk Huda dengan gelak kecil.

Huh! Minta maaf hari raya? Entah-entah tak panjang hayat aku di Menara Rumah Manis ni! Tak sempat merasa puasa kot di sini!

“Saya segan. Malu sangat!” Sofea benar-benar dihambat rasa malu bukan kepalang.

“Buat selamba. Lama-lama lupalah nanti.” Pujuk Nisa dengan wajah manis.

Kopi panas yang masih berasap tipis semerbak wangi diteguk perlahan-lahan. Seperti selalu, minuman panas itu memang tugas pembantunya Nisa atau Huda yang sediakan. Sejak tadi Chairil tidak sempat makan tengah hari. Roti bawang putih yang rangup dibeli Firdaus dilawan bersama sup cendawan berkrim yang dibancuh sendiri di pantri. Chairil menjamah hidangan ringkas itu dengan penuh nikmat.

Firdaus kemudian masuk ke biliknya. Kerusi ditarik, bungkusan nasi yang dibawa dibuka segera. Semerbak bau gulai lemak cili padi daging salai. Laju Firdaus menyuap. Dua jejaka itu baru pulang melihat progres kerja di site. Chairil mengunyap roti sambil fikirannya menerawang jauh. Merenung cawan kopi itu. Tiba-tiba tersenyum nakal sendiri.

“Bos, comellah staf baru kita tu!” Firdaus tiba-tiba bersuara.

“Siapa?”

“Alah, yang baru masuk sehari dua ni. Bos tak sempat jumpa lagi ke?”

Chairil merenung wajah Firdaus. Bulat mata seperti mahu ditelan temannya itu.

“Budak yang nama panjang berjela, yang berbelit, tergeliat lidah nak sebut tu?”

“Hah! Betullah tu! Sofeatulaishah Imran!”

“Huh, nama bukan main! Minah blur tu!” Pancung Chairil

“Hish, mana bos tahu blur. Belum sebulan dia kerja.” Ada nada membela pada Firdaus.

“Yang kau penuh rasa simpati melimpah-ruah ni kenapa?” Sindir Chairil sambil menghirup kopi perlahan-lahan.

“Hihihi.... Kitakan masyarakat prihatin, warga penyayang!” Tercebik Chairil mendengarnya.

“Budak sengal! Aku ni bos dia boleh kata aku abang jaga parking.” Terherot muka Chairil apabila mengenangkan saat itu.

“Oh! Ya ke?” Firdaus terkejut sebelum berdekah-dekah ketawa.

“Jangan nak buat muka terkejut sangat. Aku tukar baju kejap. Solat. Lepas tu beritahu Nisa kita ada meeting.” Firdaus menggeleng. Oh, nasib tak baik engkau wahai gadis manis! Belum apa-apa sudah dipangkah oleh Chairil nama engkau, Pia!

Menggelisah Sofea sepanjang mesyurat petang itu. Hendak mengangkat muka, pipi terasa kebas. Hendak tersenyum bimbang dikata tersengih-sengih menjual gigi! Tangannya pantas menyalin segala yang dibentang dan dibincangkan oleh Chairil bersama kakitangan yang lain.

Serba-salah dia dibuatnya. Sesekali sewaktu Chairil sibuk menerangkan carta strategi unit pemasaran, Sofea sempat memandang. Curi pandang sebenarnya! Biar sekilas, namun cukup untuk menangkap dan merakamkan figura sasa di hadapannya itu.

Kacak pulak dia ni! Sebelum ni macam selekeh aku tengok. Duduk bersilang kaki dekat tempat parking. Pakai celana denim lusuh yang koyak lutut. Baju t putih pun macam dah berhari-hari tak bersalin. Muka melekit berminyak. Yang depan ni sumpah ada aura!

Chairil terus membuat carta pai dan graf di papan putih. Lengan kemejanya dilipatkan sedikit. Mata Sofea terus tekun memerhati. Tangan lelaki yang biasa ke gimnasium! Terserlah urat dan otot-otot. Maskulin!

“Saya berdiri depan ni bukan suka-suka ya! Bukan jadi tugu. Saya nak tunjukkan cara macam mana nak kira profit. Macam mana nak tarik klien. Pandang tangan dengan lengan saya buat apa? Nak kira bulu roma ke? Budak baru tolong beri perhatian.”

Dush! Semua yang ada dalam bilik mesyuarat itu serentak menoleh ke arah Sofea. Ya Allah! Malunya! Gementar dirinya tidak terucap. Pipi merona merah, mata tersipu-sipu tidak tahu mahu dihala ke mana. Sofea pantas menundukkan muka. Mata sekadar melekat di bawah meja.

“Attitude anda menjelaskan altitude yang bakal anda capai. Bagaimana anda bertindak balas dan memberi respon pada sesuatu situasi, boleh menyerlahkan sikap anda dalam mengejar misi dalam kehidupan. Jangan kalut tak tentu hala.”

Sekali lagi Sofea terasa diri bagai dipanggang dan disalai sehingga rentung dalam mesyuarat itu. Dia tahu kata-kata keras Chairil merujuk dirinya. Effa yang duduk di sebelah kerusi Chairil tersenyum mengejek sambil mengangkat kening ke arah Sofea.

Jauh di sudut hati, sepanjang mesyurat itu. Sofea tidak henti-henti bertasbih. Segala doa dan ayatul Kursi yang terlintas di minda, dibaca dalam diam. Jasadnya saja dalam bilik mesyuarat itu. Tapi jiwa melayang entah ke mana. Perasaan malu untuk mengangkat muka bertentang mata dengan Chairil masih menyelubungi diri. Ya Allah! Macam manalah kalau hari-hari aku kena report kerja dengan mamat ni!

“Sofea, you dah siapkan semua dokumen yang I pesan untuk klien kita petang ni.”

“Sofea….” Effa mengulang sebut. Suaranya tegas dengan mata yang terjegil merenung gadis yang berwajah lembut itu.

“Errr… ya! Ya!” Sofea tergagap-gagap. Jari terketar-ketar mencapai fail.

Gadis itu pantas mengangkat muka mengangguk ke arah Effa. Tatkala itu renungan tajam Chairil terasa menyambar ke wajahnya. Merecup dan merona merah muka itu.

“Dah. Dah siap.”

“Dah lengkap semua ya. Pastikan tak ada yang tercicir. Mr Saharil yang berurusan dengan kita tu akan ke Hong Kong dua minggu. Apa-apa hal berbangkit susah nanti.” Effa memberi amaran.

“Dokumen untuk Mr Saharil?” Tiba-tiba Chairil menyampuk.

“Yup.”

“Bila I turunkan tanda tangan. Tak tengok pun lagi.” Nada itu sangat mencemaskan Sofea. Alamak!!! Sofea semakin menggelisah. Kantoi lagi!

“Eh, I pesan pada Sofea kena tunjuk pada you dulu. Mr Saharil datang sini petang ni. Kalau dia lewat, Sofea kena tunggu di pejabat wakilkan I. Sebab I ada meeting luar lepas ni.” Effa pantas memancung Sofea.

“Sofea?” Semua sekali lagi menyorot pandang wajah pucat itu. Nada suara Chairil sangat keras.

“Errr… oh, saya dah susun, dah kemaskan semua dokumen tu. Belum sempat minta Tuan Chairil tengok.” Kering bibir, kering darah. Gadis itu benar-benar menggeletar.

“Apa maksud you belum sempat? You ingat ni main-main punya kerja ke?” Jerkah Chairil tanpa peduli orang sekeliling sudah memandang Sofea dengan muka simpati.

Seluruh bilik mesyurat seperti beku. Firdaus sudah tersenyum menggeleng. Nisa yang menjadi tukang catat, diam pura-pura tidak memandang wajah Sofea yang menjadi tumpuan. Beberapa pekerja lain ada yang saling mencuit siku.

Effa yang sengaja mencurah minyak pada api kemarahan Chairil, menyenget senyumnya. Padan muka kau! Jangan berangan nak jadi gadis ayu semalaya di Menara Rumah Manis! Budak mentah! Kerja pun lambat pick-up!

Hampir sejam terasa beku dan terpelanting dalam daerah yang terasing, mesyuarat bersurai. Sofea menarik nafas lega. Tidak mampu dia untuk bertahan di dalam bilik yang dingin itu. Kulit muka tetap berasa pijar dan membahang. Melihat jelingan yang menikam jiwa dari Effa membuatkan Sofea tahu laluannya penuh kerikil di Menara Rumah Manis.

“Jangan ambil hati dengan Sofea tu. Biasalah, perempuan tu entah datang bulan entah senggugut! Tu yang jadi macam singa betina.” Bisik Firdaus sambil tergelak-gelak nakal tatkala berselisih di kubikal kerja.

“Terima kasih Encik Firdaus.”

“Eh, jangan berencik-encik. Panggil Abang Fir pun cukup.” Sampuk lelaki itu sambil menyeringai lagi.

Sofea diam tidak menyahut. Senyumannya juga hambar. Huh, yang seorang tu aku tersasul panggil abang! Yang ini pulak, tersua-sua minta dipanggil abang! Dasar lelaki!

“Nanti kalau ada apa-apa tak pasti, rujuk pada abang. Kalau abang tak ada, Nisa pembantu Tuan Chairil ada. Kak Rose yang hujung sana tu pun okay. Kak Effa pun otai kita di sini. Semua boleh bantu Sofea. Kita di sini satu keluarga besar.”

“Hellooooo…. Sejak bila aku jadi kakak kau orang! Tolong profesional. Tak berkenanlah nak berkakak kakak di pejabat!” Tanpa diduga Effa yang ada di mesin faksimili terdengar. Bertempik suara perempuan berbaju biru sendat dengan skirt terbelah di pangkal paha. Tampak stres wajah Effa apatah lagi dengan rambut yang selalu beralun cantik, hanya disanggulkan menggunakan dua kayu penyepit mi.

“Effa… you ni garang sangatlah! Kita ni nama pun kerja di Menara Rumah Manis. Cuba manis-manis selalu!”

“Jangan mengada-ngadalah dengan I. Nak jual koyok, nak jual minyak urat, pergi jauh. You tak sampai tahap piawaian I pun!” Effa berlalu sambil menghayun langkah dengan bunyi jengkel. Berkeletak-keletuk kasut tumit tingginya yang sejengkal itu dihentak ke lantai.

“Huh! Perempuan seorang ni angin kus-kus! Tu rasa tergugatlah dengan budak baru!” Terjungkit bibir Firdaus mengejek. Sofea mahu tergelak tapi dia tahu bukan masanya mahu bersuka-ria. Apa lagi termakan dengan gula-gula Firdaus.

Sofea diam di meja kerja menyudahkan segala yang patut. Dia kemudian melemparkan pandangan ke jendela kaca di tepi kubikalnya. Di sebelah kiri Menara Rumah Manis memang ada taman kecil. Dari kejauhan, runcing hamparan bunga rumput yang beralun disapa angin petang nan kering itu, tampak mengasyikkan. Tiba-tiba terasa hati digigit sayu. Dahulu sewaktu belum kerja, selalu berangan-angan mahu cepat kerja. Dah, kerja mengapa jadi macam ni ya? Bila agaknya dapat nikmati rasa seronok lagi tenang ke pejabat?

Di dalam bilik, Chairil tersandar sambil jarinya mengetuk-ngetuk meja. Sebelah tangan memegang telefon. Menghadam segala keluhan emaknya.

“Mak tak mahu nak cerita pada abah. Mak tak ada orang nak mengadu. Kalau cakap dengan abah, macam jahat sangat pulak mak. Burukkan adik dengan ipar dia.”

“Tak apa mak. Chairil dengar apa mak cakap. Kalau mak tak cakap pun, Chairil dah boleh agak bila tiba-tiba mak cari Chairil ni.”

“Abah mana?”

“Abah keluar. Ada high tea.”

“Itulah… mak tak mahu kacau abah. Dia sibuk.”

“Orang tu bising lagi ke mak?”

“Biasalah. Mak tak tahulah nak kata apa. Kita buat baik pun kita jugak yang buruk. Kita pulak yang macam saingan dia. Ada ke dia cakap Busu Haris pesan pada dia. Jangan rapat sangat dengan mak. Jangan layan mak ni…. Mak ni kakak ipar yang macam mak nenek. Luka hati mak bila dia sebut macam tu. Siapa yang masuk meminang dia dulu? Siapa yang susah-payah kumpulkan saudara-mara masa majlis tunang, masa dia bernikah, masa majlis bertandang? Kenapa ya Chairil, manusia cepat lupa? Walhal Busu Haris tu dari sekolah, abah kau yang ke hulu ke hilir jadi pak supir bawakan arwah nenek kalau nenek nak melawat dia di asrama.”

“Biarlah mak. Pedulikan. Orang macam ni bukan boleh layan sangat. Nasib Busu Haris, nak buat macam mana. Dapat bini mentaliti kelas ketiga. Jenis kaki gaduh, pandang orang tak boleh lebih sikit. Semua dia nak.. Bertengkar dengan Busu Haris pun nak tweet. Pergi SPA, ambil gambar kaki sendiri dalam tab mandi pun, nak tayang dekat insta. Pathetic! Bila tak dapat apa dia hajat, mulalah panas punggung cari fasal. Siapa tak kenal Busu Haris! Kedekut bukan main… Dapat bini selera besar. Suka mengepak bila bercakap. Dengan kawan pejabat tak mahu kalah. Nak cover cerita, kata kita yang cari hal. Mak buat tak tahu sudahlah.”

“Terkilan sangat mak! Rasa menyesal tolong dia selama ni.” Lirih suara ibunya.

“Biarlah mak. Mak rasa terkilan nanti hilang pahala mak buatkan kenduri kahwin dia. Chairil ni lagi rasa terbuku. Ikutkan hati anak jantan, nak lempang muka Shaza tu! Mak doakan ya… Jangan Chairil dapat bini macam tu sudah! Minta simpang malaikat 44!”

Di luar pintu bilik Sofea teragak-agak untuk masuk. Terasa seperti masuk ke bilik tali gantung dan berdepan dengan sakaratulmaut. Jantung berdenyut kencang.

“Assalamualaikum Tuan Chairil.”

“Waalaikumsalam.”

“Ini dokumen yang perlu tanda tangan tuan.”

Fail-fail nipis beralih tangan. Hujung jari Sofea nan sejuk membeku itu terasa terkena pada hujung jari Chairil. Lelaki itu memandang tajam. Biar sekilas, biar seketika bagai dapat dirasa dingin gadis itu. Sofea pura-pura tenang. Menarik nafas dalam-dalam, menyorok dada yang berombak.

“Kau dengar sini… ada beberapa benda yang aku nak kau buat.”

“Ya, tuan….”

“Tiap pagi dengan petang, aku nak kau buatkan aku kopi.”

“Kopi?”

“Hah? Kopi! Tak tahu bancuh kopi ke?” Chairil membulatkan mata.

“Tahu… tahu!” Suara itu pantas mengiyakan.

“Tapi jangan letak gula pasir. Aku guna madu.”

“Baik tuan.” Pantas saja Sofea mengiyakan biarkan fikirannya ligat berfikir, apa hal aku kena bancuhkan kopi mamat ni!

“Lagi satu… antara tugas kau. Setiap bulan siapkan aku jadual air pasang surut laut. Siap-siap print. Emel dan whatsapp sekali. Kau jangan lupa ni! Kau lupa, memang kau cari masalah.”

“Jadual air laut pasang surut?” Tidak terjangkau akal fikiran Sofea dengan arahan itu.

“Kalau aku cuti pergi memancing, kerja kau untuk siapkan perkakas aku. Cari umpun-umpun, ikan pelaling, udang untuk ikan. Aku nak benda ni siap tiga jam sebelum aku keluar memancing.”

Kali ini terbeliak mata Sofea memandang Chairil. Pancing? Umpan?

“Kau jangan nak bulat-bulatkan mata tu! Kau ingat cantik muka tu!”

“Umpun-umpun?” Muka itu keruh kegelian membayangkan makhluk umpama cacing yang panjang kemerah-merahan itu.

“Ya!”

“Mana saya nak cari?”

“Jangan tanya aku. Inilah masalah budak baru. Manja sangat! Semua info nak bersuap. Buatlah homework sendiri! Kau jangan banyak lemak sangat! Kau kerja pun masuk pintu belakang.”

Terdiam Sofea. Terasa mahu putus urat tengkuk. Terlalu terbeban rasanya kerja di Menara Rumah Manis. Ya Allah! Semuanya pahit, payau dan hambar!

Sofea baru mahu melangkah keluar sebelum dipanggil semula.

“Kau kalau ke site, jangan nak pakai baju kurung. Pakai ringkas. Tapi di pejabat kena formal semula.”

“Hah?”

“Apa hah? Kau nak pakai baju kurung ke site, kau nak memanjat macam mana nanti? Kau tu dahlah aku tengok gemuk pendek. Merendang macam bonsai! Eh, orang panggil kau apa?”

“Err… Sofea.”

“Bukan Pia?”

Angguk.

“Betullah tu. Kau ni patut panggil Pia Pemuk. Pia Pendek Gemuk! Nama berjela tu susah nak sebut. Payah nak ingat. Pia Pemuk aku panggil kau. Faham!”

Dia angguk. Apa lagi yang boleh dikatakan. Bukankah budak baru bererti mentimun!

Tuhan! Kenapa dengan dia? Sampai bila aku kena bertahan? Muka panas membahang. Sofea melangkah perlahan keluar dari bilik Chairil. Dia panggil aku Pia Pemuk? Runtuh semangat! Larut jiwa dalam rasa kecewa yang panjang. Angin kering terus menyapa lesu segenap penjuru. Biar hanya dari belakang, Sofea terasa renungan Chairil mengikuti langkahnya. Dan dia menjadi sangat tersihir. Dia tahu ada senyum nakal pada wajah itu. Biarlah! Biarlah. Kau menang Chairil!

Bersambung

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 10:03 AM