HABIB Ali (tengah) bersama penerbit program Taman Syurga, Syed Shahridzan Syed Mohamed (kiri) dan pengurus jabatan penerbitan TV AlHijrah, Jasmi Shahir pada majlis pratonton program Taman Syurga.
HABIB Ali (tengah) bersama penerbit program Taman Syurga, Syed Shahridzan Syed Mohamed (kiri) dan pengurus jabatan penerbitan TV AlHijrah, Jasmi Shahir pada majlis pratonton program Taman Syurga.
Syanty Octavia Amry


Situasi agama Islam yang dilihat semakin tergugat apabila ada beberapa pihak yang cuba memesongkan akidah umat Islam di negara ini membuatkan TV AlHijrah berusaha me­nyajikan pelbagai program bual bicara agama supaya masyarakat Islam berhati-hati terhadap anasir luar yang cuba memecah belahkan umat Islam.

Muncul dengan program baru berjudul Taman Syurga, program 80 episod itu akan dikelolakan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid. Bakal disiarkan 5 Mac ini setiap Khamis, jam 9.30 malam, program itu akan diterjemahkan melalui buku yang dijadikan panduan bertajuk Nasihat Agama dan Wasiat Iman.

Melalui buku itu, Habib Ali akan menterjemahkan setiap perkara terutamanya membabitkan perhubungan yang berlaku antara manusia dengan Allah SWT, orang tua dengan anak, pemimpin dengan masyarakat, orang atasan dengan bawahan dan manusia dengan dirinya sendiri.

Ditemui pada majlis pelancaran program itu baru-baru ini, Habib Ali berkata, buku panduan itu adalah buku yang mudah untuk diterjemahkan dan difahami.

“Pengisiannya yang cantik dan penuh dengan ilmu di samping cara teguran yang lemah lembut pasti akan membuatkan sesiapa saja yang medengarnya akan tertawan. Dengan kandungan yang sangat menyeluruh, saja akan berkongsi semuanya dengan penonton.

“Ilmu terbahagi kepada dua cara penyampaian iaitu melalui lisan dan dalam hati. Segala-galanya akan dihuraikan melalui program ini. Apa yang akan disajikan sedikit berbeza dengan program yang pernah saya kendalikan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHij­rah, Datuk Wan Alias Wan Abdullah berkata, program itu sebagai salah satu usaha stesen TV itu untuk memperkenalkan Islam dengan lebih mendalam.

“Kita mahu umat Islam lebih dekat dengan agama mereka. Kandungan yang disediakan lebih indah dan mudah difahami. Kita tidak akan berhenti menyajikan pelbagai program Islamik untuk penonton kerana itulah sasaran kita.

“Tidak hanya program Islamik untuk dewasa kita juga akan mempelbagaikan lagi program Islamik khusus untuk kanak-kanak,” katanya.

Taman Syurga adalah program bual bicara agama yang mengupas tajuk pilihan termasuk mutiara ilmu yang dipetik dari al-Quran, al-Sunnah dan kata-kata ulama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 11:32 AM