X

Kuala Lumpur: Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia menyambut baik penggunaan kad kredit untuk membayar cukai pendapatan kerana ia mengelakkan pembayar cukai dikenakan penalti manakala kerajaan pula menerima faedah daripada kutipan cukai secara langsung.

Presidennya Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, inisiatif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu juga memudahkan pembayar cukai.

“Saya rasa ini langkah bagus LHDN kerana lebih banyak saluran pembayaran disediakan lagi mudah orang ramai menunaikan kewajipan.

“Memang akan timbul soal hutang, tetapi mereka yang tidak mempunyai masa untuk ke LHDN boleh pergi ke bank dan melakukan pembayaran menerusi kad kredit. Ini sudah pasti akan memudahkan pembayar cukai,” katanya.

Beliau berkata, pembayar cukai juga boleh merancang kewangan mereka dengan lebih baik apabila menggunakan kemudahan kad kredit.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan pembayar cukai boleh membayar cukai pendapatan mereka menerusi kad kredit Visa, MasterCard atau American Express serta kad debit yang dikeluarkan oleh institusi perbankan di negara ini.

LHDN menjangka inisiatif baru itu akan meningkatkan transaksi cukai pendapatan dalam talian sehingga 25 peratus berbanding 12.13 peratus daripada 7.53 juta transaksi pembayaran cukai tahun lalu.

LHDN mencatatkan kutipan cukai berjumlah RM133.694 bilion pada 2014, peningkatan 3.6 peratus daripada tahun sebelumnya.

Kerajaan dan LHDN yakin inisiatif baru itu akan menyaksikan kutipan cukai langsung mencapai RM142.646 bilion tahun ini di sebalik pelbagai cabaran luaran termasuk kejatuhan harga minyak serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan bermula 1 April ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 7:34 AM