Agensi

New York: Pengasas syarikat Microsoft, Bill Gates mengekalkan kedudukannya sebagai manusia paling kaya di dunia yang dipegangnya selama 16 tahun berturut-turut, lapor majalah Forbes kelmarin.

Harta Gates dianggar berjumlah AS$79.2 bilion (RM287.40 bilion), meningkat AS$3.2 bilion (RM11.6 bilion) pada tahun lalu.

Gates masih mampu mengekalkan kedudukannya walaupun mendermakan AS$1.5 bilion (RM5.44 bilion) kepada Yayasan Bill & Melinda Gates pada November.

Taikun telekomunikasi Mexico, Carlos Slim kekal di tempat kedua dengan kekayaan berjumlah AS$77.1 bilion (RM279.67 bilion).

Pelabur Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett berada di tempat ketiga selepas menyaksikan kekayaannya melonjak kepada AS$72.7 bilion (RM263.67 bilion).

Menurut Forbes, Buffett ahli perniagaan paling banyak memperoleh keuntungan tahun lalu apabila hartanya meningkat AS$14.5 bilion (RM52.64 bilion) berbanding tahun sebelumnya.

Kekayaannya banyak didorong oleh peningkatan saham syarikat Berkshire Hathaway miliknya.

Pengasas kumpulan fesyen Inditex, Amancio Ortega berada di tempat keempat dengan harta dianggarkan bernilai AS$64.5 bilion (RM234.18 bilion).

Butik pakaian Zara turut termasuk dalam kumpulan fesyen Inditex.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg melonjak lima anak tangga untuk berada di kedudukan ke-16 dengan harta bernilai AS$33.4 bilion (RM121.29 bilion).

Ini kali pertama Zuckerberg, 30, berada dalam kelompok 20 paling kaya di dunia.

Bekas bintang bola keranjang, Michael Jordan berjaya memasuki senarai bilionair buat kali pertama dengan harta bernilai AS$1 bilion (RM3.63 bilion).

Jordan, 52, mengikat kontrak dengan syarikat Nike yang mengeluarkan kasut Air Jordan.

Pengasas bersama aplikasi pesanan Snapchat, Evan Spiegel, 24, dan Bobby Murphy, 25, menjadi bilionair paling muda dengan masing-masing mengumpul harta bernilai AS$1.5 bilion (RM5.44 bilion).

Jumlah bilionair meningkat pada tahun ini kepada 1,826 berbanding 1,645 pada tahun lalu.

Peningkatan mata wang dolar berbanding euro dan juga kejatuhan harga minyak mentah dunia dipercayai memberi kesan kepada peningkatan jumlah kekayaan mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 8:10 AM