HARRINGTON (dua dari kanan) bersama kedi Ronan Flood (kiri) selepas memenangi kejuaraan Klasik Honda di Florida.
HARRINGTON (dua dari kanan) bersama kedi Ronan Flood (kiri) selepas memenangi kejuaraan Klasik Honda di Florida.
AFP

Palm Beach Gardens, AS: Bintang Ireland, Padraig Harrington muncul juara PGA AS pertama dalam tempoh tujuh tahun selepas mengatasi pemain rookie Amerika Syarikat (AS) berusia 21 tahun, Daniel Berger pada penentuan play-off kejohanan Klasik Honda yang terjejas kerana ribut, semalam.

Pemain berusia 43 tahun dari Dublin itu, juara tiga kejohanan utama yang merudum ke tangga ke-297 ranking dunia, memenangi penentuan play-off dramatik pada sebelah pagi bagi meraih hadiah utama AS$1.098 juta (RM3.98 juta) pada kejohanan bernilai AS$6.1 juta (RM22 juta) itu.

“Sembilan lubang terakhir saya berasa seperti orang lain,” kata Harrington. “Saya menemui semula kekuatan mental yang hilang sejak beberapa tahun lalu. Harapnya ini bukan kemenangan terakhir.”

Pukulan Harrington masuk ke kolam pada lubang 17 par tiga bagi double bogey, namun berjaya membenam birdie dari jarak 15 kaki pada lubang 18 par lima untuk memaksa play-off apabila menyamai catatan Berger dengan enam bawah par 274 selepas 72 lubang.

Kedua-duanya memulakan play-off dengan par pada lubang 18 dan kemudian pada lubang 17, pukulan tee Harrington singgah empat kaki daripada lubang manakala pukulan Berger jatuh ke kolam. Ia membolehkan pemain Ireland itu melakukan dua putt bagi merangkul kejuaraan.

“Sebelum ini saya agak yakin dengan persembahan sendiri, tapi gagal meraih kejayaan,” jelas Harrington. “Minggu lalu saya menemui sesuatu dalam permainan mental, apa kesilapan sebelum ini.

“Saya berasa lebih selesa di lapangan. Saya tampil minggu ini dan berasa tenang hampir separuh saingan. Saya berasa mungkin boleh bertindak lebih baik pada masa depan.”

Harrington menang Terbuka British 2007 dan 2008 serta Kejohanan PGA AS 2008, gelaran terakhirnya dalam Jelajah PGA AS sekalipun mengungguli Terbuka Indonesia dalam Jelajah Asia, Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 8:49 AM