Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Misi balas dendam Datuk Nicol David terhadap Alison Waters berjaya dilaksanakan apabila mengalahkan pemain England itu di suku akhir Terbuka Windy City, semalam.

Sebelum ini Alison merencatkan hasrat Nicol menjulang trofi Kejohanan Juara-Juara JP Morgan, Januari lalu apabila mengalahkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu di suku akhir.

Nicol yang juga pilihan utama, berada dalam kelas tersendiri untuk mara ke separuh akhir kejohanan di Chicago itu apabila menang 12-10, 12-10, 11-6 dalam tempoh 36 minit.

Ada sesuatu yang tidak kena buat Alison kerana pada set pertama dia mendahului Nicol 10-6 dan perkara sama turut berlaku pada set kedua apabila di depan 10-8.

“Dia sebelum ini beberapa kali mengalahkan saya dan saya sedar perlu bekerja keras untuk menang,” katanya.

Menanti Nicol di separuh akhir pilihan kelapan, Nour El Tayeb dari Mesir yang menumpaskan rakan senegara, Nour El Sherbini 11-7, 11-9, 11-4.

Seorang lagi pemain Mesir, Raneem El Welily yang juga pilihan kedua kejohanan turut mara ke separuh akhir apabila mengalahkan pemain negara Low Wee Wern 9-11, 11-6, 11-3, 11-9.

“Sebenarnya tidak ada tekanan ketika bertemu Raneem dan saya sudah cuba yang terbaik,” kata Wee Wern selepas melepasi sasaran mara ke suku akhir.

Raneem bertemu Camille Serme dalam satu lagi aksi separuh akhir selepas pemain Perancis itu mengalahkan Emma Beddoes (England) 11-4, 11-2, 11-5.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:27 AM