Putrajaya: Pelajar cemerlang yang berjaya memperoleh keputusan sembilan A+ ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 layak menerima penajaan Bursary daripada Kementerian Pendidikan (KPM).
Bahagian Tajaan Pendidikan KPM dalam satu kenyataan berkata, penajaan itu dibuat bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar tanpa mengira etnik, kaum dan latar belakang keluarga.
Ia adalah pembiayaan dalam bentuk yuran pengajian, elaun sara hidup dan penginapan bagi pelajar untuk mengikuti pengajian program persediaan di institusi pengajian dalam negara sebelum melanjutkan pendidikan di peringkat Ijazah Pertama di dalam atau luar negara.
"Program persediaan yang ditaja di bawah penajaan Bursary adalah Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, A-Level dan International Baccalaureate (IB).
"Penajaan ini ditawarkan secara automatik kepada semua pelajar yang memperoleh sembilan A+ ke atas dalam keputusan SPM yang diumumkan kelmarin," katanya.