ANTARA rokok putih yang dirampas. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
ANTARA rokok putih yang dirampas. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Batu Pahat : Cubaan dua lelaki untuk menyeludup masuk 1,150 karton rokok putih pelbagai jenama dari negara jiran berjaya dipatahkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas mereka menahan bot fiber di kedudukan dua Batu Nautika Sungai Sarang Buaya di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, APMM menerima aduan daripada orang awam yang mengesan dua buah bot fiber dipercayai dari Indonesia sedang memindahkan barang dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Operasi APMM Pengkalan Maritim Batu Pahat, Leftenan Maritim Zaiful Azhar berkata, bot APMM cuba mengejar dua bot terbabit namun satu daripadanya melarikan diri menuju ke perairan Indonesia.

Menurutnya, satu bot lagi ditahan namun suspek yang berada di dalam bot terbabit melarikan diri ke paya bakau berhampiran.

"Pemeriksaan ke atas bot menemui 1,150 karton rokok putih bernilai lebih RM100,000 yang cuba didaratkan dipercayai untuk pasaran luar daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 4:07 PM