MANE (tengah) jaring gol tunggal perlawanan.
AFP

Southampton: Southampton melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris selepas jaringan lewat Sadio Mane membantu kemenangan tipis 1-0 ke atas Crystal Palace, awal pagi semalam.

Pemain sayap Senegal itu menjaringkan gol pada minit ke-83 di St Mary’s, membolehkan anak buah Ronald Koeman mengatasi Liverpool dan hanya dipisah satu mata dengan pasukan tangga keempat Manchester United.

Ketika perebutan ke Liga Juara-Juara semakin hangat, ia kemenangan bermakna buat Saints yang gagal menang tiga perlawanan terakhir selain tidak menjaringkan sebarang gol.

“Saya harap pemain memperoleh semula keyakinan dan bermain seperti sebelum ini,” kata Koeman, pasukannya menghuni tangga ketiga enam minggu lalu.

Eljero Elia mencipta peluang pertama buat Southampton, namun percubaannya gagal menepati sasaran.

Pasukan kendalian Koeman patut mendahului tidak lama kemudian selepas percubaan Victor Wanyama dari jarak 23 meter singgah di kaki Filip Djuricic yang tidak dikawal.

Namun ketika hanya berdepan penjaga gol Julian Speroni dalam kotak penalti, pemain tengah Serbia itu mensia-siakan peluang apabila rembatannya melepasi palang.

Palace menang di St Mary’s pada aksi Piala FA, Januari lalu dan hampir mendahului apabila penjaga gol Saints, Fraser Forster tidak mengawal baik hantaran silang Yannick Bolasie.

Wilfried Zaha teragak-agak mengambil kesempatan itu dan Forster berjaya mengawal keadaan.

Akhirnya pada minit ke-83, hantaran silang leret pemain gantian James Ward-Prowse yang ditumbuk Speroni, dirampas Mane yang mudah melambungkan bola melepasi penjaga gol itu dan menerjah jaring.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:38 AM