NICOL mara final Terbuka Windy City.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kerah keringat sebelum ke final. Datuk Nicol David hanya selangkah lagi sebelum meraih kejuaraan kedua musim ini selepas memenangi saingan separuh akhir Terbuka Windy City semalam.

Bagaimanapun, pilihan utama itu terpaksa berhempas pulas untuk menumpaskan Nour El Tayeb dari Mesir 11-9, 13-11, 12-10 dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam.

“Saya hanya kekal dengan rentak permainan. Pada masa sama perlu memberikan tentangan sengit agar dia (Nour) tidak meraih mata hingga perlawanan tamat,” kata pemain nombor satu dunia itu.

Nour pada satu ketika mendahului Nicol 3-0 pada set kedua namun pemain kelahiran Pulau Pinang itu berjaya di depan 7-4 dan 10-8.

Nicol mencuba empat kali sebelum memenangi set kedua dengan 13-11.

Situasi sama berlaku pada set ketiga apabila Nour mendahului 10-8 sebelum Nicol bangkit untuk menang 12-10 seterusnya menempah slot ke perlawanan akhir bertemu seorang lagi pemain Mesir, Raneem El Welily.

Raneem yang juga pilihan kedua kejohanan mengatasi pemain Perancis Camille Serme 11-8, 8-11, 8-11, 11-9, 11-3 dalam perlawanan 58 minit.

“Pada set keempat saya pernah terfikir akan tewas. Tapi saya mengambil keputusan mengubah corak permainan dan berusaha keras mencatat kemenangan,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Nicol dan Raneem pernah bertemu dalam perlawanan akhir 10 kali dengan rekod memihak kepada pemain berusia 31 tahun itu 8-2.

Raneem pernah mengalahkan Nicol pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2012 dan Kejohanan Klasik Cleveland 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:54 AM