X
MAKANAN laut yang segar menjadi pilihan pengunjung.
MAKANAN laut yang segar menjadi pilihan pengunjung.
Oleh Suliati Asri


Mempunyai persekitaran yang menyenangkan dan tanah yang subur, tidak keterlaluan jika penulis katakan Australia sebagai syurga makanan.

Jolokan itu bukan saja kerana kepelbagaian makanan yang boleh diperoleh saat berkunjung ke negara kanggaru itu tetapi hasil buminya yang cukup segar.

Dek kelebihan itu, pelbagai festival makanan dan aktiviti santai yang menyeronokkan diadakan di Australia sepanjang tahun.

Australia juga terkenal dengan hasil gourmet yang segar dan diiktiraf dunia.

Antara festival yang mengujakan termasuk Great Barrier Feast untuk merasa hidangan makanan laut yang segar, menggali tanah untuk mencari trufel di Australia Barat atau Canberra dan menikmati keenakan ladang anggur di Margaret River.

Memasuki pekarangan Margaret River Gourmet Escape tengah hari itu bersama rombongan yang lainnya, hati mula tertanya-tanya apakah festival yang sedang berlangsung.

Mana tidaknya, di sebelah kanan terlihat pelbagai barangan segar seperti sayuran dan buah-buahan manakala di dalam khemah, ramai pengunjung beratur untuk menikmati hidangan yang dimasak.

Di sebelah kiri terlihat sesi soal jawab mengenai pelbagai topik dalam suasana santai.

Bahagian tengah pula terdapat satu pentas utama yang menampilkan jurumasak selebriti Australia berinteraksi bersama pengunjung sambil melakukan demo masakan.

Diadakan setiap hujung tahun, Margaret River Gourmet Escape yang disenaraikan sebagai acara tahunan ini adalah sesuatu yang harus dikunjungi di wilayah Australia Barat.

Antara yang pernah berada di sini termasuk cef selebriti British Heston Blumenthal, cef Perancis Julien Royer dari restoran JAAN di Singapura dan pengkritik makanan British, A A Gill.

Festival ini juga menampilkan cef selebriti Australia seperti Neil Perry (yang mencipta menu bagi penumpang kelas pertama dan perniagaan Qantas) dan cef pastri terkenal, Adriano Zumbo yang dianggap Willy Wonka Australia.

Diadakan di Leeuwin Estate Winery, program hujung minggu ini membabitkan demonstrasi makanan, kelas memasak, sesi soal jawab, perbincangan panel dan hiburan keluarga.

Menghabiskan masa kira-kira enam jam di Margaret River Gourmet Escape, peluang melawat semua ruang pameran yang menjual pelbagai barangan segar nyata cukup mengujakan.

Lebih menarik, produk makanan yang dijual terus dari ladang dan dihasilkan menggunakan hasil bumi yang segar.

Layari www.www..com.au/www.westernaustralia.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 12:09 PM