Barcelona: Barcelona mendapat tonik terbaik menjelang pertembungan dengan Real Madrid Sabtu ini apabila jaringan Neymar, Lionel Messi dan Sandro Ramirez menghadiahkan kemenangan 3-1 ke atas Ajax dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Neymar menghasilkan gol pembukaan dalam perlawanan Kumpulan F di Nou camp selepas tujuh minit apabila bintang Brazil itu menerima hantaran Messi dan melencongkan bola ke gawang sebelum Messi meletakkan pasukan tuan rumah selesa di depan dengan jaringan kedua 14 minit kemudian.

Jurulatih Barca Luis Enrique kemudian mengeluarkan Neymar, Messi dan
Andres Iniesta pada babak kedua untuk memastikan tonggak utama itu cergas bagi aksi minggu ini.

Ajax cuba bangkit menerusi gol Anwar El Ghazi dua minit sebelum tamat, tapi Sandro memastikan tuan rumah meraih gol ketiga pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan.

Pengurus Ajax Frank de Boer mengakui barisan pemain kurang berpengalaman pasukannya terlalu menghormati bintang Barca.

“Saya fikir kami terlalu menghormati mereka. Saya tahu pasukan ini tidak mempunyai banyak pengalaman tapi di peringkat ini kami tidak boleh terlalu hormat pasukan lawan.”

Dalam pada itu jaringan kemenangan lewat permainan Edinson Cavani membantu Paris Saint-Germain menang 1-0 ke atas APOEL Nicosia di gelanggang lawan sekali gus menyaksikan Barca kekal satu mata di belakang pasukan juara Perancis itu, namun melebarkan kelebihan empat mata mengatasi pasukan di tangga ketiga Ajax. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:03 AM