Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) berjaya mencapai 50 peratus ke atas pelan pemulihan lima tahun syarikat dilaksanakan sejak 2013 merangkumi 29 inisiatif keberhasilan utama.

Antara inisiatif keberhasilan utama itu ialah memanfaatkan keuntungan tinggi daripada rangkaian meluas perkhidmatan pos laju yang dimilikinya dan menjangkakan sinergi lebih positif daripada anak syarikat DRB-Hicom Bhd, KL Airport Services Sdn Bhd (KLAS).

Pengerusinya Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata, menerusi pelan pemulihan itu, Pos Malaysia berjaya merekodkan perolehan RM1.3 bilion pada 2013 berbanding RM800 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan keberhasilan perancangan berkenaan.

Beliau berkata, pelan pemulihan itu masih belum dimuktamadkan sepenuhnya dan kini berada di landasan yang betul untuk mengukuhkan kedudukan Pos Malaysia.

“Pengangkutan dan kurier masih lagi menjadi penyumbang signifikan kepada kumpulan. Namun, syarikat perlu mempelbagaikan lagi perkhidmatan kepada pelanggan bagi menjana perolehan lebih tinggi.

“Pada tahun ini, syarikat akan meneliti sebarang kemungkinan untuk memperkenalkan produk baru bagi memberi pilihan perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama strategik Amanah Raya Berhad (ARB) dan Pos Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi ARB, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengarah Urusan ARB, Datuk Abdul Rahman Md Khalid dan Pemangku Ketua PegawaI Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd, Azlan Shahrim.

Menerusi kerjasama itu, Pos Malaysia menerusi 595 cawangan di Semenanjung Malaysia akan memainkan peranan menerima borang permohonan daripada pelanggan untuk melantik ARB sebagai pentadbir harta si mati muslim.

Borang permohonan pelanggan akan dihantar setiap hari menggunakan perkhidmatan kurier PosLaju kepada ibu pejabat ARB untuk proses selanjutnya.

Khamil berkata, dengan adanya 595 cawangan pos berkenaan, syarikatnya yakin dapat membantu waris si mati menyegerakan proses urusan harta pusaka.

“Antara perkara yang diambil kira dalam pelan berkenaan adalah mempelbagaikan kerjasama dan perniagaan di dalam Pos Malaysia seperti pengenalan kerjasama strategik bersama ARB.

“Pada masa depan, kita merancang beberapa lagi perkhidmatan ARB seperti Wasiat dan Hibah untuk disediakan di Pos Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:17 AM