Manama: Kementerian pelajaran Bahrain semalam melancarkan siasatan selepas satu rakaman video menunjukkan seorang pelajar menyanyi ayat suci al-Quran dengan diiringi muzik menjadi viral di Internet.

Dalam rakaman itu, seorang pelajar menyanyi Surah al Fatihah, sementara seorang lagi rakannya bermain selo.

Ia sebahagian daripada pertunjukan bakat yang dianjurkan sebuah sekolah swasta.

“Perkara itu sudah dirujuk kepada penyiasat kementerian dan langkah perlu sudahpun diambil,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan, semalam.

Dalam kenyataannya pula, pihak berkuasa Sekolah Antarabangsa Abdul Rahman Kanoo berkata, mereka memberi kerjasama kepada penyiasat.

“Kami komited mempertahankan kesucian Islam dan negara. Kejadian berlaku ketika festival kreativiti yang kami anjurkan. Wakil sebuah sekolah mengadakan pertunjukan nyanyian, termasuk menyanyikan ayat suci al-Quran walaupun jawatankuasa penganjur menggesa peserta mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan,” kata jurucakap sekolah.

Disember lalu, pihak berkuasa Universiti Al-Azhar mengeluarkan fatwa mengharamkan menyanyi ayat suci al-Quran dengan iringan muzik.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas laporan mengenai sebuah syarikat opera Indonesia menyanyikan ayat suci dengan diiringi orkestra.

“Membaca berbeza dengan menyanyi. Menyanyi ayat suci adalah diharamkan. Menambah muzik pada al-Quran menjadikan kitab suci itu sama dengan lagu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Al-Azhar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:32 AM