Vienna, (Austria): Seorang lelaki boleh dianggap penjenayah paling bodoh apabila cuba merompak sebuah bank di sini kelmarin dengan bersenjatakan sudu.

Lelaki itu yang tidak memakai topeng masuk ke bank berkenaan dan berpura-pura mempunyai pisau sebelum mengarahkan juruwang menyerahkan wang.

Juruwang berkenaan menyedari lelaki itu bersenjatakan sudu dan terus menghubungi polis.

Akhbar The Local melaporkan, lelaki berusia 24 tahun itu masuk ke bank di Weintraubengasse di sini pada jam 4 petang dan terus ke kaunter juruwang.

Lelaki berkenaan dilihat yakin bahawa pekerja bank berkenaan mempercayai sudu yang dibawanya itu pisau.

Juruwang terbabit yang menyedari helah lelaki itu berpura-pura mahu mengambil wang, tetapi sebaliknya menghubungi polis.

Menurut laporan itu lagi, lelaki berkenaan duduk di ruangan menunggu dan masih sabar menanti sehingga polis tiba dan terus menahannya.

Beberapa saksi berkata, tiada siapa yang takut atau mengambil serius ancaman lelaki itu.

Lelaki itu kini ditahan di penjara memberitahu dia melakukan rompakan itu kerana tidak mempunyai wang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:40 AM