NEYMAR (kiri) tebus kecewa perlawanan pertama.
NEYMAR (kiri) tebus kecewa perlawanan pertama.
AFP

Madrid: Barcelona layak ke final Piala Raja Sepanyol apabila melengkapkan kemenangan agregat 6-2 ke atas Villarreal selepas menang 3-1 di El Madrigal, awal pagi semalam.

Anak buah Luis Enrique bertemu Athletic Bilbao pada final bagi kali ketiga dalam tempoh lima tahun 30 Mei ini selepas pasukan Basque itu menumpaskan Espanyol 2-0 sekali gus mara 3-1 menerusi agregat.

Neymar gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Barca menang 3-1 pada perlawanan pertama tiga minggu lalu, namun menebus kekecewaan itu selepas hanya tiga minit apabila merembat masuk hantaran silang Lionel Messi.

Jonathon dos Santos memberikan tuan rumah sekelumit harapan dengan gol penyamaan menentang bekas kelabnya, namun peluang Villarreal mencetus kebangkitan menakjubkan berkubur apabila Tomas Pina dilayang kad merah kerana terjahan keras ke atas Neymar.

Luis Suarez menyumbat gol ke-11 musim ini untuk menjadikan kedudukan 2-1 sebelum Neymar melengkapkan jaringan selepas menyambut hantaran silang Xavi Hernandez.

“Saya amat gembira layak ke final sekali lagi dan patut mengucapkan tahniah kepada pasukan,” kata Neymar.

“Villarreal sebuah pasukan hebat dengan ramai pemain berkualiti. Kami sedar ia pasti sukar dan itulah sebabnya kami bermula dengan garang. Kami menjaringkan gol dengan pantas dan memudahkan misi kami.”

Kemenangan itu bagaimanapun menyedihkan apabila Sergio Busquets diusung keluar padang pada babak pertama kerana kecederaan buku lali yang mungkin menyaksikannya diketepikan beberapa minggu dengan Barca berdepan Real Madrid dalam aksi La Liga 22 Mac ini.

“Ia memang berita buruk buat kami,” kata Enrique.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 9:36 AM