Manchester: Manuel Pellegrini memberi amaran kepada kapten Vincent Kompany tempatnya dalam kesebelasan utama Manchester City belum terjamin selepas diketepikan ketika menang 2-0 ke atas Leicester di Stadium Etihad, awal pagi semalam.

Pertahanan tengah Belgium itu pemain berprofil tinggi yang menjadi mangsa rombakan besar Pellegrini selepas kekalahan kepada Barcelona dan Liverpool.

Persembahan buruk Kompany menyebabkannya diketepikan daripada skuad City yang menyumbat gol pada setiap babak menerusi David Silva dan James Milner dan Pellegrini menegaskan, pertahanan itu belum tentu kembali bagi aksi menentang Burnley dalam tempoh sembilan hari.

“Alasannya sama dengan Pablo Zabaleta, Vincent Kompany, Fernandinho, Samir Nasri, Edin Dzeko, amat penting hari ini saya merombak pasukan secara mental dan fizikal, selepas dua perlawanan perit apabila kami tidak mendapat keputusan yang diinginkan,” jelas Pellegrini. “Ia masa terbaik melakukannya.

“Bukannya satu keputusan sukar kerana kami perlu memantapkan semula pasukan dan saya memikirkan banyak perkara. Kami akan lihat apa akan berlaku pada perlawanan seterusnya. Hujung minggu ini kami berehat, tapi Isnin ini kami perlu fikirkan perlawanan berikutnya.

“Sering kali apabila tidak mendapat keputusan diingini, perlawanan berikutnya amat sukar dan itulah sebabnya hari ini penting meraih tiga mata.”

Pellegrini turut memuji penyerang baru bernilai £25 juta (RM139 juta), Wilfried Bony, penampilan pertamanya meskipun terlepas beberapa peluang meledak gol sulung.

“Penting dia mulakan perlawanan sejak awal,” kata Pellegrini mengenai penyerang yang beraksi bersama Ivory Coast pada Piala Negara Afrika awal tahun ini. “Dia hanya beraksi beberapa minit pada perlawanan terdahulu.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 9:38 AM