Bot Vietnam yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili menahan dua bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan secara haram di kedudukan 3.1 nautika Barat Pulau Aur Kota Tinggi, 9 pagi semalam.

Ketua Penguat Kuasa APMM Daerah Tanjung Sedili Kepten Maritim Amran Daud berkata, pemeriksaan lanjut di bot berkenaan mendapati terdapat 27 awak-awak berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun selain menemui lebih 2,000 kilogram ikan yang ditangkap dipercayai menggunakan pukat gading.

"Kapal Ronda Maritim berjaya mengesan dua buah dan hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen.

"Tangkapan berkenaan adalah kejayaan pertama Daerah Maritim Tanjung Sedili pada tahun ini dalam usaha untuk membasmi aktiviti penangkapan hasil laut secara haram oleh vesel asing yang boleh mendatangkan kerugian kepada negara.

"Ini juga adalah bukti hasil kerjasama APMM bersama golongan komuniti maritim yang akrab," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 4:49 PM