PRODUK Arun Pottery yang pastinya mempunyai peminat tersendiri.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Bagi memartabatkan seni seramik, Kraftangan Malaysia mengadakan Program Media Turun Padang ke Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini untuk meninjau perkembangan terbaru sempena Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2015 tidak lama lagi.

Mengunjungi bengkel PO-G-Pottery, milik Mohd Fauzi Mohd Safian, 32, dia menghasilkan produk kraf porselin.

“Bagi menyerlahkan identiti PO-G-Pottery, motifnya lebih memperlihatkan ciri kontemporari dan futuristik,” kata anak kelahiran Sungai Siput ini.

Sempena HKK 2015 ini, dia bakal mengetengahkan produk porselin menarik seperti rekaan siput dan rekaan yang ringkas, tetapi sesuai untuk semua situasi atau konsep dekorasi.

Semuanya diterjemahkan pada produk termasuk labu sayung, cawan, bekas atau pasu bunga.

“Penggunaan porselin dan teknik gerlis dapat melonjak taraf perkakasan ini pada kedudukan tersendiri,” katanya yang sibuk menyiapkan porselin terbaik untuk HKK 2015 di inkubator Kraftangan Malaysia Cawangan Perak itu.

Kraftangan seramik yang dihasilkan Era Seramik tidak kurang hebatnya termasuk lampu seramik gantung, lampu meja, hiasan dinding dan produk cenderahati.

Pengusahanya, Ahmad Cukri Mat Johor, 43, menerusi penggunaan warna ‘meranti gold’ produk seramik yang dihasilkan itu lebih unik, cerah dan berkilat.

“Selain dapat menutup cela pada setiap produk, ia meletakkannya antara kraftangan paling menarik,” katanya.

Malah, produk cenderahati seperti bekas telur mendapat sambutan menggalakkan kerana Era Seramik turut mempertahankan nilai estetika pada setiap produk seramiknya.

Bengkel Era Seramik terletak di 40C, Kampung Pauh, Sayong, Kuala Kangsar.

Berbeza dengan Arun Pottery yang menampilkan kraf seramik unik di HKK 2015.

Antara kelainannya ialah rekaan labu sayung yang dilengkapi paip bagi memudahkan penyediaan air tanpa perlu membuka penutup.

“Labu sayung paip ini memudahkan anda meraikan tetamu dan sesuai diletak di semua ruang dalam rumah,” katanya.

Menariknya labu sayung paip itu boleh didapati dalam warna asal seramik dan warna hitam.

“Ketahanan produk ini terjamin kerana ia melalui beberapa proses penghasilan yang rumit sebelum dipasarkan,” katanya.

Bengkel Arun Pottery terletak di Kampung Kepala Bendang, Sayong, Kuala Kangsar.

Produk seramik Nazir Deco Art pula bermotif tapak sulaiman, titisan air mata, daun dan sulur paut.

Motif menariknya ditampilkan pada rekaan setiap produk kraf termasuk labu sayung dan lampu hiasan.

Bengkelnya terletak di No 45, Kampung Sayong Masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:01 AM