JENAZAH dua beradik dibawa menggunakan pesawat Hercules C-130 TUDM dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) . FOTO Alias Md Rani
JENAZAH dua beradik dibawa menggunakan pesawat Hercules C-130 TUDM dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) . FOTO Alias Md Rani
Oleh Alias Abd Rani

Kuching: Jenazah dua beradik mangsa tragedi MH17, Muhammad Afzal Tambi, 17, dan Marsha Azmeena, 15, selamat tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, hari ini.

Ketibaan jenazah jam 11.30 pagi yang dibawa menggunakan pesawat TUDM Hercules C-130 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kemudian disambut mengikut istiadat penghormatan membabitkan anggota dari Kor Amor Diraja Kem Penrissen.

Turut hadir menyambut jenazah adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Beberapa ahli keluarga dilihat turut mengiringi jenazah yang kemudiannya dibawa ke Masjid Jamek Petra Jaya untuk disembahyangkan dan akan dikebumikan di sebelah pusara ibu bapa mereka Tambi Jiee, 49, dan Ariza Ghazalee, 46, serta abang Muhammad Afif, 19, di Tanah Perkuburan Islam Samariang selepas solat Jumaat.

Sebelum ini, jenazah ibu bapa serta abangnya selamat tiba dan dikebumikan masing-masing pada 22 Ogos dan 9 September lalu.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 September 2014 @ 7:10 PM