LKD 2015 dibarisi pelawak seperti Rayza (dari kiri), Fad Bocey, Afdlin, Harith, Douglas, Abam dan Acey Bocey.
Oleh Norhayati Nordin


Sambutan baik diterima setiap tahun daripada penonton mendorong produksi Tall Order Sdn Bhd milik pelakon dan penerbit terkenal, Hans Isaac terus menerbitkan persembahan komedi Lawak Ke Der? di Istana Budaya (IB).

Diam tak diam, bagi persembahan Lawak Ke Der 2015 (LKD 2015) kali ini adalah yang keempat diterbitkan Hans dan menjadi platform untuk pelawak generasi baru dan lama bergabung menghiburkan penonton.

Hans ditemui pada majlis sidang media LKD 2015 baru-baru ini berkata, antara pelawak yang menjadi pilihannya ialah Afdlin Shauki, Harith Iskander, Douglas Lim, Bocey dan bintang lawak di YouTube, Rayza Mukmin.

“Pemilihan dibuat berdasarkan maklum balas diterima daripada masyarakat. Terutama, kumpulan Bocey yang dianggotai Abam, Acey dan Fad. Saya tak sangka Bocey cukup diminati ramai.

“Pada mulanya, saya kurang mengenali Bocey. Namun, selepas menyaksikan persembahan mereka saya pun bersetuju dengan pilihan yang dibuat orang ramai. Bocey ada potensi untuk pergi lebih jauh.

“Bahkan, Bocey kini menjadi kumpulan pelawak yang saya sukai. Lawak dipersembahkan Bocey bersahaja, seiring dengan isu semasa dan dapat diterima baik oleh masyarakat,” katanya.

Menurut Hans lagi, dia sangat berbesar hati apabila Bocey sudi menerima lamaran pihaknya untuk terbabit dalam persembahan komedi LKD 2015.

Sehubungan itu, persembahan komedi berprestij LKD 2015 akan mula dipentaskan di Panggung Sari, IB pada 16 hingga 19 April ini jam 8.30 malam.

Bagi orang ramai yang berminat menyaksikan persembahan ini harga tiket dijual antara RM46 hingga RM176.

Bahkan, promosi istimewa disediakan kepada penonton yang membeli tiket sebelum tarikh 1 April ini dengan diskaun sebanyak 20 peratus bagi setiap persembahan LKD 2015 dan pementasan lain terbitan produksi Tall Order.

Mengulas mengenai pemilihan Rayza yang lebih dikenali di YouTube, Hans berkata, dia tertarik dengan persembahan pemuda itu meskipun bakat komedinya diketengahkan di laman sosial.

“Nama Rayza mungkin belum dikenali di pentas lawak komersial, namun, bagi pelayar Internet di YouTube, persembahan ‘stand-up comedy’ dipersembahkan sangat bagus. Rayza kreatif dan dia banyak idea.

“Apapun, selain memberi tumpuan kepada pelawak yang sudah dikenali LKD 2015 juga tidak lupa menyediakan peluang kepada pelawak muka baru seperti Rayza,” katanya.

Menurut Hans lagi, pada persembahan LKD 2015 itu, Afdlin akan menampilkan ‘stand-up comedy’ yang sering dipersembahkannya pada majlis korporat saja.

Sebagai bintang komedi berbakat besar, Hans berkata, dia yakin Afdlin mampu menghiburkan penonton dengan lawak bersahajanya dalam LKD 2015. Begitu juga katanya keyakinan kepada Harith dan Douglas.

Kata Hans lagi, bidang komedi sebenarnya bukanlah mudah. Katanya, hanya insan yang terpilih saja dikurniakan Tuhan dengan bakat untuk menghiburkan masyarakat melalui lawak jenaka.

Bagaimanapun, antara barisan pelawak tanah air yang pernah terbabit dalam persembahan komedi berkualiti Lawak Ke Der? terdahulu seperti Johan, Zizan, Harun Salim Bachik, Nabil dan kumpulan Jambu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 4:56 AM