Agensi

Taipei: Sebuah kapal nelayan bersama-sama 49 kelasi hilang di Lautan Atlantik Selatan sejurus selepas kaptennya melaporkan ia dimasuki air.

Pihak berkuasa berkata semalam, kapal nelayan seberat 700 tan itu, Hsian Fu Chin, terputus hubungan komunikasi dengan pemiliknya kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan) 26 Februari lalu.

Kapal menangkap sotong itu dilapor berada kira-kira 3,148 dari kepulauan Falklands apabila ia hilang, menurut rakaman data satelit.

Antara krunya ialah kapten rakyat Taiwan yang juga ketua jurutera, 11 warga China, 21 Indonesia, 13 Filipina dan dua Vietnam.

Taiwan sudahpun melancarkan usaha mencari dan merayu bantuan Argentina dan Britain serta kapal lain yang berada di sekitar kawasan itu.

“Kami masih tidak mengetahui di mana kapal itu dan apa yang berlaku padanya,” kata jurucakap Agensi Perikanan Huang Hong-yen.

Katanya, kerajaan melancarkan gerakan mencari dan menyelamat serta-merta selepas pemiliknya melaporkan ia terputus hubungan dengan kapal berkenaan.

“Tidak ada bukti menunjukkan kapal itu karam. Ia dilengkap sistem isyarat amaran apabila berdepan dengan tekanan air,” katanya.

Huang tidak memberi butir mengenai cuaca di kawasan itu ketika kejadian tetapi keadaan di laut berkenaan sentiasa bergelora.

Dia juga tidak menjelaskan alasan pihak berkuasa mengambil masa begitu lama sebelum mengumumkan kehilangan kapal berkenaan.

Beberapa media Taiwan meramalkan, kapal itu mungkin rosak dan hanyut atau dirampas anak kapalnya.

Bagaimanapun, pegawai agensi yang enggan dikenali berkata: “Harapan menemui kapal itu di kawasan berkenaan amat tipis.”

Kira-kira 100 kapal nelayan Taiwan menangkap ikan di Lautan Atlantik Selatan setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:30 AM