RANGEL (kiri) ledak gol pertama Penyu.
RANGEL (kiri) ledak gol pertama Penyu.
Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim berang dengan sikap pemainnya yang dianggap tidak mempunyai ketahanan mental kuat selepas merelakan dua gol mudah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi malam kelmarin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Jurulatih berusia 69 tahun itu berkata, biarpun Terengganu mendahului lawan 2-0, tetapi akhirnya pemain gagal menyekat kemaraan pasukan The Gladiators itu dan terpaksa berputih mata mengutip satu mata selepas sekadar seri 2-2.

“Sepatutnya selepas kita mendahului 2-0, kita boleh membunuh semangat ATM dengan satu atau dua gol lagi untuk mengutip tiga mata, tetapi nampaknya ketahanan mental pemain tidak kuat menyebabkan kita hampir rebah di laman sendiri.

“Selain itu saya lihat dengan jelas tenaga pemain juga tidak ada terutama pada 20 minit terakhir dan ini kemungkinan besar disebabkan peralihan padang latihan daripada rumput sebenar kepada padang rumput tiruan seminggu sebelum perlawanan.

“Saya malu kerana pasukan Terengganu ditaja kerajaan negeri tetapi tidak ada padang untuk latihan sekali gus menyebabkan pemain cepat penat dan sukar mengharungi perlawanan dengan baik kerana bukan hanya seorang saja yang penat tetapi hampir keseluruhan pemain jelas kepenatan,” katanya yang menempelak pihak pengurusan kerana gagal menyediakan tempat latihan bersesuaian.

Pada aksi malam kelmarin, Paulo Rangel meletakkan pasukan itu di depan pada babak pertama melalui sepakan penalti dan disusuli gol kedua pada awal babak kedua juga melalui Rangel, namun kelekaan pemain skuad Penyu jelas memakan diri sendiri apabila lawan menyamakan kedudukan melalui pemain import Jerry Nelson Palacios dan pemain kebangsaan Christie Jayaseelan pada penghujung babak kedua.

Ketika ditanya siapa yang harus dipersalahkan berikutan tidak ada padang yang sesuai untuk latihan, bekas jurulatih kebangsaan itu enggan menuding jari kepada sesiapa tetapi memaklumkan perkara itu adalah urusan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Saya mengharapkan situasi seperti ini tidak lagi berlaku selepas ini kerana penggunaan padang rumput tiruan ini memerlukan tenaga yang banyak dan sepatutnya pihak pengurusan menyediakan padang sesuai untuk latihan bukan padang tiruan bagi latihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:19 AM