Oleh Azlan Muhammad Zain

Sungai Petani: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Adiq Husainie Othman meningkatkan azam melakar sejarah muncul pelumba Malaysia pertama memenangi jersi putih (pelumba terbaik Asia) berbaki enam peringkat lagi.

Adiq Husainie membuktikan kemampuannya apabila merampas jersi putih daripada pelumba Hengxiang Cycling Team, Ma Guangtong selepas mengumpul masa 6 jam 49 minit 35 saat.

“Saya pasti memberikan kayuhan terbaik untuk mengekalkan jersi ini. Keputusan mengubah laluan ke Bukit Fraser dan tidak ke Genting Highlands memberikan sedikit kelebihan kepada saya dan pelumba tempatan lain.

“Laluan ke Bukit Fraser tidak begitu sukar seperti Genting,” katanya yang sekali lagi bertindak agresif apabila melakukan pemecahan pada peringkat awal perlumbaan.

Malah Adiq kembali bangkit menamatkan perlumbaan walaupun terjatuh dan mengalami sedikit luka ketika saingan berbaki 500 meter.

“Peluang sekarang memang cerah ditambah ketiadaan pelumba Iran yang sering mendominasi.

“Namun saya tetap waspada terutamanya dengan cabaran pemenang kategori ini pada edisi 2013, Wang Meiyin.

“Sudah dua peringkat dia berehat. Saya akan memerhatikan pergerakannya. Saya bersyukur kerana usaha keras sejak peringkat pertama akhirnya berhasil hari ini (semalam),” tambahnya.

TSG bagaimanapun terlepas untuk menaiki podium apabila Mohd Harrif Salleh menamatkan perlumbaan pada kedudukan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:06 AM