Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet menembak negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (gambar) berpotensi cerah menjadi antara penyumbang pingat buat negara pada temasya Sukan SEA di Singapura, Jun ini.

Dia yang menyumbang pingat emas bersama Nur Suryani Taibi dalam acara 10m air rifle berpasangan di Sukan Komanwel New Delhi kini melakar rekod terbaik peribadi apabila membidik 419.9 mata dalam acara kegemarannya itu.

Catatan itu sekali gus turut meletakkan dirinya dalam ranking ketiga dunia dan andai aksi dipamerkan terus konsisten, tidak mustahil penembak berasal dari Pahang itu mampu melakar rekod menjadi atlet wanita kedua negara menyumbang pingat di Olimpik.

“Saya tidak sangka dapat melakukan catatan itu kerana rekod saya sebelum ini, 413.3 mata. Ia mengejutkan kerana rekod terbaik peribadi Suryani, 417 mata.

“Saya harap dapat mengekalkan momentum ini agar terus cemerlang di Sukan SEA dan juga kejohanan menembak lain,” katanya yang akan berlepas ke Langkawi untuk menjalani latihan intensif pada 18 Mac ini.

Biarpun catatan itu bukanlah catatan dilakar pada kejohanan rasmi, ia sudah cukup membakar semangat Ayuni yang akan beraksi dalam acara 10m air rifle dan tiga posisi di Sukan SEA.

Belum pernah beraksi di pentas Olimpik, Ayuni berharap percubaan kali ketiga ke temasya terbesar dunia tahun depan itu akan berjaya selepas usaha ke Olimpik Beijing dan London gagal.

Bagaimanapun ketika ini, Ayuni tidak mahu terlalu memikirkan kelayakan ke Olimpik kerana mahu memberi fokus kepada Sukan SEA.

Dia bersama rakan sepasukan akan ke Kejohanan Piala Dunia Menembak di Korea April ini dan menyertai Kejohanan Menembak Asia di Kuwait pada November untuk memburu slot ke Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:09 AM