SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada program pelancaran di Kelana Jaya.
Oleh Mohd Badlishah Md Ali


Kelana Jaya: Persatuan Tenis Selangor (PTS) bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelab Sukan SportsUnite dan Milo mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Tenis Perpaduan edisi ketujuh pada 28 dan 29 Mac ini di Pusat Tenis, Kompleks Sukan MBPJ Kelana Jaya.

Klinik tenis itu dikendalikan jurulatih berpengalaman Persatuan Tenis Selangor di ikuti dengan pertandingan kemahiran.

Agak menarik apabila saingan beregu pasangan ibu atau bapa bersama anak turut diadakan selain beregu remaja dan senior dengan pasangan mesti berbilang kaum.

Makan tengahari dan baju-T Milo turut diberi kepada semua peserta. Empat gandingan terbaik setiap kategori menerima pingat dan barangan penaja.

Bagi menghargai jasa bekas Presiden PTS Allahyarham Datuk Abdul Mailk Mohd Salleh, satu piala khas sempena nama beliau akan disampaikan kepada keluarga paling aktif dan komited dalam semua program PTS.

Komitmen Allahyarham membangunkan PTS selama 15 tahun penuh dedikasi dan hasilnya mencapai banyak kejayaan di peringkat remaja dan senior kejohanan kebangsaan.

Satu sidang akhbar diadakan baru-baru ini melancarkan Piala Datuk Abdul Mailk dan Karnival Tenis Perpaduan 2015 dihadiri ibu bapa dan peserta berbilang kaum.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Penolong Pengarah Kemasyarakatan MBPJ Zaharah Rustam, Setiausaha Kehormat PTS YM Tengku Mohamed Tengku Harun dan Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite Datuk Dina Rizal.

Keterangan lanjut sila hubungi Tengku Mohamed, 03-79584221 atau 012-3986914.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:33 AM