PELBAGAI jenis ikan yang diikat bersama tali.
PESERTA menangkap ikan menggunakan jala dan serkap.
IKAN segar yang digoreng di tapak pesta.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Estet ikan Paya Chempaka, Lanchang, Temerloh, Pahang menyaksikan kemeriahan lebih 2,000 peserta tempatan dan luar mencuba nasib menangkap pelbagai spesies ikan menggunakan jala dan serkap.

Peserta diberi peluang sepuas-puasanya menangkap ikan kap kepala besar, kap rumput, rohu, lee koh, lampam jawa, haruan, sepat siam, puyu dan terbun dalam kawasan paya bekas sawah padi seluas 16 hektar.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Adnan Hussain berkata, sambutan pesta kali ini amat memberangsangkan berbanding penganjurannya pada 2012.

“Pada 2012 kami membekalkan kira-kira 200,000 benih pelbagai spesies ikan kepada jawatankuasa estet Paya Chempaka untuk dilepaskan bagi tujuan aktiviti memancing dan pesta.

“Bagaimanapun, kami hanya dapat menarik penyertaan kira-kira 600 peserta saja ketika itu,” katanya.

Adnan berkata spesies yang dilepaskan ialah kap kepala besar, kap rumput dan rohu, lee koh dan lampam jawa.

Manakala ikan seperti haruan, sepat siam, puyu dan terbun sedia terdapat dalam paya berkenaan.

“Estet Ikan Paya Chempaka yang dimajukan pada 1988 melakar kejayaan membanggakan apabila dapat mengadakan pesta menangkap ikan setiap dua hingga tiga tahun sekali, selain pertandingan memancing.

“Saya menganggarkan lebih 15 tan ikan pelbagai spesies dan saiz berjaya ditangkap oleh peserta dalam tempoh lebih 10 jam bermula pada jam 8 pagi,” katanya.

Menurutnya, kini ada lima estet ikan di daerah ini membabitkan keluasan lebih 151 hektar yang diusahakan 112 peserta terdiri kalangan pemilik tanah.

Katanya, kawasan Paya Cantik mempunyai keluasan 69 hektar, diikuti Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Paya Lana (25 hektar), Paya Chempaka (16 hektar) dan Paya Rantau Panjang (10 hektar).

Pengerusi projek estet ikan Paya Chempaka, Ishak Mohamad, 46, berkata sambutan pesta itu begitu menggalakkan.

Rata-rata peserta ditemui berpuas hati apabila menangkap banyak ikan dalam tempoh beberapa jam.

Untuk memudahkan peserta menangkap ikan menggunakan jala dan serkap katanya, air hingga ke paras pinggang dilepaskan.

“Cara itu memberi peluang kepada peserta bergerak keseluruhan kawasan paya.

“Setiap peserta memperoleh antara lima hingga 100 kilogram (kg) pelbagai spesies ikan dan difahamkan terdapat beberapa peserta berjaya membawa pulang lebih 150kg,” katanya.

Ishak berkata peserta diberi peluang selama dua hari untuk menangkap dalam kawasan tasik sebelum keseluruhan air dilepaskan untuk tujuan membaik pulih dan mendalamkan paya.

“Selepas air dikeringkan sepenuhnya peserta termasuk penduduk kampung berpeluang mencari ikan yang terperangkap di bawah rumput dan tumbuhan air,” katanya.

Peserta, Abd Rahman Din, 47, dari Kelana Jaya, Selangor, berkata biarpun pertama kali menyertai pesta itu, dirinya tetap puas dengan hasil tangkapan diperoleh.

“Saya bersama tiga rakan datang jauh semata-mata untuk merasai keseronokan menangkap ikan di kawasan paya,” katanya yang menangkap lebih 10 kg pelbagai spesies ikan.

Bagi Besah Bakar, 55, dia bersama keluarganya tidak pernah ketinggalan untuk menyertai pesta berkenaan.

“Kepuasaannya bila dapat sama-sama masuk ke paya berlumpur dan menangkap ikan bersaiz besar.

“Saya dapat menangkap seekor ikan rohu lebih empat kg termasuk ikan kap rumput, sepat siam dan lee koh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 10:34 AM