Kuala Lumpur: Mohd Hafiz Nor Azman mengaku kehadirannya sebagai pelumba rookie kelas CP130 memberikan banyak kelebihan bagi menghadapi pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 di Temerloh, Pahang, minggu ini.

Hafiz yang kali terakhir beraksi dalam kelas CP115 pada 2013 sebelum berehat sepanjang musim lalu, kini kembali ke garisan permulaan bersama pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, pasukan yang tampil cemerlang dan berada di kelompok dua teratas keseluruhan sepanjang tiga musim berturut-turut.

Hafiz bakal bergandingan bersama tiga pelumba senior, Norizman Ismail, Mohd Zamri Baba dan Elly Idzlianizar Ilias.

“Beraksi bersama pasukan hebat pasti mendatangkan tekanan kepada mana-mana pelumba. Namun, memandangkan ini tahun pertama saya dalam kategori ini, ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kerana banyak perkara baru perlu saya pelajari,” kata Hafiz.

“Pasukan SCK sudah menempa banyak kejayaan dan saya juga bertekad melakar kejayaan buat mereka. Saya mahu cipta kejutan dengan membuktikan kemampuan untuk menang.”

Tidak gentar sebaris dengan pelumba berpengalaman, pelumba berusia 19 tahun itu percaya aksi dalam kelas perdana itu mampu membantu mengembangkan karier ke peringkat lebih tinggi.

Malah, Hafiz juga yakin dia dapat menyesuaikan diri dengan jentera Honda yang digunakan pada musim ini.

“Paling penting, saya memiliki pasukan terbaik musim ini. Mereka pernah memenangi gelaran pasukan terbaik beberapa tahun lalu dan melahirkan dua juara (Azlan Shah Kamaruzaman dan Norizman Ismail). Ini menjadikan saya lebih bersemangat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:48 AM