FARSHILA (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Dr Noor Azlan.

Kuala Lumpur: Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menandatangani perjanjian pembekalan produk farmaseutikal dengan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (Pharmaniaga) menjadikan institusi berkenaan antara 1,500 hospital dan klinik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah rangkaian logistik Pharmaniaga.

Menerusi perjanjian itu, Pharmaniaga akan membekalkan 648 jenis barangan perubatan di bawah Senarai Produk Yang Diluluskan (APPL) termasuk ubat-ubatan dan bukan ubat-ubatan.

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran berkata, syarikatnya komited untuk membuat penghantaran dalam tempoh tujuh hari bekerja di Semenanjung Malaysia serta 10 hari bekerja di Sabah dan Sarawak.

“Selaku syarikat pemegang konsesi pengedar ubat-ubatan dan peralatan perubatan terbesar di negara ini, kami amat mementingkan ketelitian, kualiti serta kesungguhan dalam setiap perkara yang kami lakukan.

“Perjanjian ini adalah untuk memastikan bekalan ubat-ubatan di hospital sentiasa mencukupi, seterusnya mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian pembekalan produk farmaseutikal, semalam.

Pada majlis itu, Farshila mewakili Pharmaniaga manakala PPUKM diwakili Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali. Hadir sama, Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah PPUKM, Profesor Datuk Dr Raymond Azman Ali.

Mengenai kesan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April ini, Raymond berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan pengecualian supaya ia tidak membebankan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:18 AM